
DARI Baram ke Sungai Klang;
Kenyalang terbang riang sekali;
Bara digenggam nekad berjuang;
Suara Kapar mohon diambil peduli.
Sebagai ucapan sulung dalam Dewan yang mulia ini, pertamanya saya ingin merakamkan setinggi-tinggi kesyukuran kepada Allah SWT dan jutaan terima kasih kepada 65,751 pengundi Kapar yang telah memilih Perikatan Nasional pada PRU15 terutama kepada pengundi muda yang sekarang ini dipertikaikan pula orang umur 18 tahun macam tidak matang dan tidak boleh diberi kepercayaan untuk mengundi.
Bagi kita di dalam Perikatan Nasional mereka matang dan membuat satu pilihan yang terbaik. Mereka telah pun berani menuntut kebaikan, profesionalisme dan muak over politicking. Inilah yang telah ditawarkan oleh Perikatan Nasional, PN BEST atau bersih dan stabil.
Kita telah melangkah ke 66 tahun pascamerdeka. Hari pertama apabila saya terpilih menjadi Ahli Parlimen Kapar, saya membuat satu inisiatif kerana khabarnya kita tidak dapat peruntukan bahkan hendak membuat pusat khidmat masyarakat pun tidak ada peruntukan barang satu sen. Jadi saya membuka Google Form dan menawarkan kepada rakyat Kapar, apakah aduan-aduan daripada mereka. Percaya atau tidak, saya mendapat 300 aduan dalam masa sebulan dan 90 peratus adalah mengenai infrastruktur.
Kita sering mendengar masalah infrastruktur seolah-olah sinonim dengan Sabah dan Sarawak. Basic infrastructure, dengan izin. Namun pelik wal ajaib, aduan-aduan berputar, berpusing seperti masalah longkang, parit, lampu, jalan, jambatan dan sebagainya. Maknanya infrastruktur yang asas. Banjir berulang-ulang khususnya di DUN Meru, DUN Sementa, DUN Selat Klang hingga memusnahkan harta benda dan dalam keadaan krisis ekonomi sekarang ini menjejaskan produktiviti penduduk. Hendak pergi kerja tidak boleh, banjir. Kereta berendam. Motosikal pun tenggelam. Anak-anak sekolah pun tidak boleh. Ada yang kena pindah. Hendak berniaga barang-barang semua tenggelam. Peralatan elektrik pula rosak. Ini fasal banjir.
Fasal jalan pula, dengan di pedalaman sebab saya dilahirkan di bumi Kenyalang, sebab itu saya tadi pantun adalah berbunyi Kenyalang. Jadi, saya empati dengan Borneo.
Saya faham. Anehnya apabila saya berdepan dengan rakyat ataupun pengundi di Kapar ini, mereka mengatakan jalannya berlubang-lubang, motosikal yang hendak digunakan untuk mencari rezeki sebab di Kapar ini ada pelabuhan. Pelabuhan Klang, North Port, West Port dan sebagainya. Lagi-lagi bila musim hujan. Jalan pula tidak bagus. Ada tiang, ada lampu tetapi tidak menyala.
Jadi banyaklah kemalangan jalan raya. Bahkan saya mendapatkan gambar dan juga video di mana mereka menunjukkan satu lubang yang begitu besar bak kawah. Macam kawah ya dan ada yang buat kartun memancing di situ. Itulah teruknya lubang. Itu di Klang ya, bukannya di tempat jauh.
Dikatakan penyelenggaraan jalan tidak boleh dilakukan dengan sempurna sebab tidak cukup bajet. Jadi, saya mohon kepada kerajaan kalau dikatakan kita Malaysia ini bagus, madani dan sebagainya, tolonglah beri perhatian kepada keperluan asas rakyat ini, maslahat rakyat. Ini yang disebut madani.
Dr. Haji Abd Ghani Ahmad [Jerlun]: Yang Berhormat Kapar, Yang Berhormat Kapar minta laluan.
Dr. Halimah Ali [Kapar]: Okey.
Dr. Haji Abd Ghani Ahmad [Jerlun]: Tuan Yang di-Pertua, menyentuh isu infrastruktur yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Kapar, saya kira isu ini banyak berlaku di seluruh kawasan di dalam negara kita. Persoalan yang ingin saya dapat penjelasan daripada Yang Berhormat Kapar berkaitan dengan tindakan Yang Amat Berhormat Tambun membuat pemotongan bajet ataupun pemotongan peruntukan kepada agensi-agensi kerajaan sebelum Bajet 2023 dibentangkan. Ini menjadi persoalan besar kepada agensi kerajaan di bawah. Apa pandangan Yang Berhormat Kapar tentang isu pemotongan ini?
Dr. Halimah Ali [Kapar]: Terima kasih. Memang saya telah pun pergi kepada jabatan-jabatan dan agensi kerajaan yang saya sebutkan tadi sama ada PBT, JKR, JPS, pejabat daerah dan sebagainya. Saya setuju apa yang telah disebutkan tadi. Bolehlah dimasukkan dalam sebahagian daripada ucapan saya.
Bila jalan selalu ditenggelami air, lagilah cepat rosak. Orang susah, B40, kita bagilah mereka apa pun ‘Bakul Rahmah’ kah atau apa kah tetapi motosikal mereka, kereta mereka rosak, itu pun incurred cost, dengan izin. So, there is a dire needs, dengan izin untuk diselaraskan di antara jabatan dan kementerian ini sama ada cerita jalan, longkang, parit dan sebagainya, especially yang tempat yang dipanggil no man’s land. Makna tidak ada orang yang mengaku itu dia punya. JKR kata, ini bukan kami yang punya. JPS kata, ini kami tak jaga yang ini. Kemudian PBT kata, mereka ini tak bayar cukai. Jadi ini bukan kami yang jaga. Pejabat daerah kata, kami tak ada cukup duit.
Jadi, saya minta kepada kerajaan khususnya Kerajaan Madani, dia tidak adanya membangau-bangau. Dah cukuplah budaya membangau-bangau itu. Solve the problem. Kita mahu solusi. Rakyat mahu solusi.
Di Meru khususnya, kita menjangkakan, bahkan rakyat sendiri menjangkakan, mangsa banjir itu menjangkakan sekurang-kurangnya perlu tiga atau empat tambahan kolam tadahan air untuk mengatasi banjir di Meru. Jadi, tak boleh kata tak ada duit. Kena juga cari duit. The buck stops here. Itu dengan izin, kerajaan perlu selesaikan secara holistik, bukan piecemeal dan bukan reaktif. Dah ada orang mati dah, dah ada orang accident dah barulah apa. Ada yang termasuk di dalam longkang, ada yang dah patah. Umur 40 tahun dah patah kaki, patah riuk. Maka jadi OKU. Asalnya, okey.
Salah satu lagi yang saya mendapatkan permintaan dari kawasan Kapar ialah Hospital Kapar. Masa Covid-19 dahulu, khususnya ketika memuncak kes Covid-19, Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang penuh dengan kes Covid-19 sehingga satu bangunan yang lama itu semua penuh dengan Covid-19. Jadi, orang sakit jantung, orang yang gout dan sebagainya, katakan tak payahlah datang nak ambil ubat ini ya. Pergilah tempat lain dan sebagainya. Jadi, pendek ceritanya, tidak cukup kapasiti hospital yang ada.
Kalau mengikutkan statistik banci tahun 2020, kawasan Kapar ini mempunyai populasi 314,033 orang. Ini Kapar, sebelah Kapar, Kuala Selangor. Kemudian Puncak Alam, kemudian tempat-tempat lain pula ya. Jadi, sudah tentulah sangat mendesak. Projek Hospital Kapar perlu dimulakan segera yang dikatakan telah pun diluluskan bagi kerja-kerja awalan di bawah Rancangan Malaysia Kesebelas, Rolling Plan 4 di atas tapak PT83789HSD164319 Mukim Kapar, Klang. Dikatakan Hospital Kapar ini berkapasiti 300 katil dan akan berfungsi sebagai hospital pakar major. Jadi saya minta kepada kerajaan, segerakanlah, kurangkanlah birokrasi.
Satu lagi daripada permintaan pengundi, rakyat di Kapar ini ialah di mana kita dengar tadi ada Hulu Langat sekali juga agaknya ya di mana satu kelas itu 40 orang lah, 45 orang dan sebagainya. Ini satu Sekolah Kebangsaan Rantau Panjang ini mempunyai 4,000 lebih pelajar. Jadi saya minta sangat kerajaan tambahkan sekolah kebangsaan supaya mereka mendapatkan tempat yang lebih kondusif.
Mengenai keharmonian kaum. Seperti yang kita lihat di dalam Titah Ucapan Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong, kita di dalam Dewan ini adalah penggubal undang-undang. Kita dianggap sebagai pemimpin. Maka daripada kita membiarkan, saya mengharapkan kerajaan ini yang dikatakan mahu menjadikan negara Malaysia ini sebagai negara madani, pastikan semua pihak sini atau sana, refrain, tegah diri, tahan diri daripada menggunakan perkataan-perkataan atau istilah-istilah yang akan implicate ataupun seolah-olah orang political force especially lawan politik kita, rival kita seolah-olah mereka rasis.
Walhal, orang yang berucap itu, yang cakap itu, mungkin merekalah lebih rasis. Cukuplah mempolitikkan perkauman ini. Insya-Allah, kita mahu semua segmen rakyat ini sama ada pekedai ataupun nelayan, guru, penjawat awam, pelajar IPT, di desa, di bandar semuanya mahu melihatkan kerajaan yang ambil peduli tentang sensitiviti, bukan sahaja kaum minoriti tetapi juga kaum majoriti. Maka, jangan cakap tak serupa bikin, bikin tak serupa cakap.
Trust deficit yang tercetus ini disebabkan mungkin oleh parti-parti politik yang mengheret masa rakyat Malaysia ini selama 60 tahun hingga membarah. Maka, the time is now. Cukuplah sudah 66 tahun negara kita telah merdeka. Kalau kita dulu dijajah oleh Jepun, dijajah oleh Portugis, dijajah oleh British tetapi rakyat negara kita ini bukan orang Jepun, bukan orang British, bukan orang Portugis. Kalau asal usulnya dari Jawa, China, India, negara kita ini bukan China. Jadi kita tak boleh kecinaan lebih daripada orang China. Begitu juga dengan India. Kita tidak boleh lebih India daripada orang India. Begitu juga dengan mungkin orang kata orang PAS di green wave ini seolah-olah Taliban. No! Saya hendak merekodkan di sini bahawa PAS bukan Taliban! PAS adalah Malaysian. Kita ada 33 tahun track record di Kelantan di mana keharmonian kaum ini jelas dipraktikkan bukan hanya dicakap, tetapi dipraktikkan.
Oleh kerana masa tak banyak, saya nak sebutkan tentang food security dan health security. Ini semuanya keperluan asas. Kita tak mahu, saya selaku doktor perubatan, takut apabila keterjaminan makanan ini mendesak, ada membingungkan kerajaan. Kita tidak mahu shortcut, kita tidak mahu kompromi daripada bekalan makanan yang low quality. Saya tidak ada masalah dengan istilah “rahmah” atau apa tetapi jangan sampai rakyat marhaen B40 diberikan bekalan makanan yang low quality dan mungkin juga menyebabkan mereka terdedah kepada kanser, autoimmune disease, kepada autisme dan sebagainya.
Saya ingin melontarkan kepada kerajaan. Malaysia dikatakan paling kaya ke-12 biodiversiti dalam dunia. Kita banyak air, sumber air, kita tak ada gempa bumi yang serius seperti Turki, Indonesia dan sebagainya.
Tanah kita subur, green. Jangan takut green wave. Jadi, sepatutnya kerajaan boleh dengan modal insan yang ada menggunakan teknologi, menggunakan segala ada. Saya percaya di Malaysia ini, ada orang bijak pandai. Give them the segala yang mereka perlukan, insya-Allah, mereka boleh. Food security, health security dan sebagainya. Melonjakkan negara kita menjadi negara yang makmur dan diberkati oleh Allah SWT. – HARAKAHDAILY 15/2/2023
Petikan ucapan Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali semasa membahaskan usul Menjunjung Kasih Titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat pada 14 Februari 2023.




















