MB terima kunjungan hormat Wanita PN Perlis

- Advertisement -

KANGAR: Wanita Perikatan Nasional (PN) Perlis mengadakan kunjung hormat kepada Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli di sini, hari ini.

- Advertisement -

Pertemuan itu diadakan di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) bersama 17 orang wakil Wanita PN negeri.

Timbalan ketuanya, Nor Shahirah Salleh berkata, lawatan tersebut sebagai tanda penghormatan dan sokongan kepada kepimpinan PN negeri yang berjaya membentuk kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) lalu.

“Perjumpaan hari ini berhasrat bagi mendapatkan maklumat mengenai perjalanan serta perkembangan terkini kerajaan negeri.

“Antara maklum balas positif yang kita perolehi ialah peluang pekerjaan khasnya kepada golong B40 hasil dari pelabur yang datang selepas kerajaan PN ditubuhkan,” katanya

Selain itu, Shahirah juga menzahirkan ucapan penghargaan kepada kerajaan PN yang tidak mengetepikan kaum wanita untuk turut terlibat dalam pentadbiran.

“Terima kasih kepada kerajaan negeri yang turut melibatkan kita dalam urus tadbir kerajaan, contohnya seperti lantikan wakil wanita sebagai ahli Majlis Perbandaran Kangar (MPK) sebelum ini.

“Kita juga dalam usaha menghimpunkan usahawan-usahawan kecil wanita untuk diketengahkan seperti dijadikan cenderahati kepada pelancong yang datang ke negeri Perlis,” ujarnya lagi.

Beliau berharap kerjasama yang terjalin memberi kelebihan dan kebaikan kepada kedua-dua pihak khususnya serta rakyat negeri ini.

Pertemuan selama lebih satu jam itu berlangsung penuh harmoni dengan cadangan daripada Wanita PN mengenai agenda untuk kemaslahatan bersama terutama isu berkaitan kaum hawa.

Hadir sama Ketua Wanita PN, Azura Adnan dan Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Wan Badariah Wan Saad. – HARAKAHDAILY 13/2/2023

- Advertisement -