Khurafat kesihatan bulan mengambang

- Advertisement -

TARIKH 14 dan 15 Safar (sama dengan 14 dan November) tahun ini menjadi sejarah apabila bulan mengambang paling besar saiz dan paling bercahaya. Ia kelihatan 14 peratus lebih besar dan 30 peratus lebih cerah.

Fenomena ini disebut Supermoon setiap 68 tahun kerana kitaran galaksi bulan berada paling hampir dengan bumi.

Fenomena ini mencetus pelbagai kepercayaan dalam masyarakat. 

Dalam sosio budaya yang pelbagai, terdapat kepercayaan yang mengaitkan supermoon ini meningkatkan kejadian jenayah atas kepercayaan mistik.

Logiknya kegiatan manusia di bulan terang mengambang akan semakin aktif, lantas terjadinya peristiwa yang diluar jangkaan. 

Akan tetapi tiada statistik jelas kaitan antara bulan mengambang dan kejadian jenayah. 

Begitu juga, sesetengah masyarakat percaya jumlah kelahiran meningkat semasa bulan mengambang. 

Kajian sosio budaya telah menafikan hubungkait tersebut. Kajian mengenai bulan mengambang penyebab bencana alam juga telah membuktikan tiada hubungkait antara kedua-duanya.

Walaupun dari segi asasnya bulan mengambang akan mengakibatkan paras laut meningkat, tetapi tidak semuanya tepat jika tidak disertai hujan lebat sehingga mencetuskan banjir besar.

Dunia kesihatan juga tidak terlepas dari kepercayaan tahyul ini. Ada yang berteori penyakit gout akan menyerang orang ramai, jumlah pengunjung wad kecemasan makin bertambah dek kerana penyakit pelik timbul, kanak-kanak akan sakit perut akibat cacing makin membiak semasa bulan mengambang dan pelbagai lagi. 

Kesemuanya teori khayal yang hanya menjadi buah gelak ketawa para doktor perubatan di hospital. 

Bertahun-tahun kajian telah dijalankan bagi mencari hubungan antara kejadian penyakit dan bulan mengambang. 

Tiada bukti yang sahih secara statistik mengatakan biologi dan perangai manusia berubah semasa bulan mengambang.

Mungkin orang beranggapan pesakit gila atau meroyan meningkat semasa bulan terang akibat pengaruh mistik, tetapi ia tiada kaitan jelas. 

Cumanya mungkin apabila suasana makin terang, seseorang yang sudah berpenyakit gila akan tidur lewat malam. Kitaran biologi kehidupan berubah, akhirnya tercetus relaps (gila kembali).

Kejadian penyakit seperti serangan jantung, kematian, kelahiran, sawan, kemasukan wad psikiatri dan pelbagai lagi tidak menunjukkan kadar yang ketara berbanding di bulan gelap.

Adapun Rasulullah S.A.W menggalakkan umatnya berpuasa di hari putih, iaitu 13, 14 dan 15 hari bulan di mana bulan di langit mengambang penuh dan malam itu cahaya bulan sangat terang hingga tarikh tarikh ini dipanggil hari putih. 

Di dalam Islam digalakkan berpuasa sunat. Dipanggil hari putih sebab malam tersebut malam yang cerah. 

Tidak dikaitkan pun dengan apa-apa fenomena pelik sempena bulan mengambang. Semoga amalan puasa sunat kita berpahala. 

Semoga pencerahan ini ibarat terang bulan mengambang tanpa bersuluh bagi mengurangkan kekusutan pemikiran tahyul pelbagai dalam masyarakat.

#Post karut marut seperti dalam gambar itu pun ramai yang share? Adui la.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 8/2/2023

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.

- Advertisement -
- Advertisement -