Sambutan Tahun Baru Cina citra perpaduan rakyat

- Advertisement -

SANDAKAN: Sambutan Tahun Baru Cina yang dirayakan setiap tahun dianggap sebagai citra perpaduan rakyat di Sabah yang terdiri daripada pelbagai kaum dan agama.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Aliakbar Gulasan berkata, sambutan itu bukan soal parti politik tetapi berkaitan kepelbagaian kaum, agama dan bangsa.

- Advertisement -

Katanya, rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai etnik boleh diumpamakan sebagai satu keluarga besar di Sabah.

“Sebab itulah PAS sentiasa bersama-sama meraikan sambutan pelbagai kaum di negeri ini,” katanya yang juga ADUN (lantikan) Sabah ketika merasmikan Sambutan Tahun Baru Cina PAS Sabah bersama persatuan-persatuan Cina di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan-timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid dan Abdul Hisham Othman, Ketua Dewan Muslimat PAS negeri, Norsah Bongsu dan Yang Dipertua PAS Batu Sapi, Ahmad Naufal.

Diraikan pada majlis tersebut Pengerusi Persatuan Stevedor Pelabuhan Sandakan, Chan Hing Wai serta Pengerusi Pasukan Tarian Naga dan Singa, Chan Fang Lun.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Aliakbar Gulasan

Program itu dimeriahkan lagi dengan acara menggaul Yeesang sebagai gimik perasmian dan persembahan tarian naga.

Dr Aliakbar juga berkata, sambutan itu menandakan sudah berakhir tahun harimau dan akan bermula tahun arnab.

“Kita berharap tahun ini memberi kebahagiaan dan kebaikan untuk kita semua,” ujarnya yang juga Setiausaha PAS Sabah. – HARAKAHDAILY 21/1/23

- Advertisement -