
KANGAR: Pegawai kerajaan yang komited melaksanakan dasar kerajaan negeri wajar diberi kenaikan pangkat dan dikekalkan di negeri itu sehingga sesuatu projek siap dilaksanakan.
Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, sejak tahun 1990-an pegawai-pegawai dalam kategori pengurusan dan profesional yang ditempatkan di jabatan-jabatan negeri merupakan lantikan persekutuan.
Katanya, pegawai kerap bersilih ganti disebabkan kenaikan pangkat dan kemajuan kerjaya.
“Hanya segelintir yang akan kembali berkhidmat di Perlis selepas mendapat kenaikan pangkat. Perkara tersebut sedikit sebanyak membantutkan perancangan serta perlaksanaan projek yang dirancang.
“Perlis bukan dikategorikan sebagai Negeri Bersekutu, tatacara pelantikan pegawai-pegawai terutamanya kategori pengurusan dan profesional bukan seperti Negeri-Negeri Tidak Bersekutu iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.
“Perkara tersebut menjadi perhatian Tuanku Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail,” katanya di Majlis Amanat bersama Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim bersama penjawat awam di Dewan 2020, di sini hari ini.
Menteri Besar juga berkata, kerajaan negeri mengucapkan jutaan terima kasih di atas peruntukan yang disalurkan ke Perlis bagi Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11).
Menurutnya antara projek yang dilaksana termasuk pembinaan Pejabat Polis Kontinjen Negeri bernilai RM151 juta, bangunan Canselori UniMAP (RM50 juta), Kompleks Penyiaran RTM (RM23 juta) dan Lencongan Banjir Barat (RM332 juta).
Kata beliau projek lencongan banjir merupakan antara projek yang paling berjaya dilaksanakan di Perlis.
“Sejak projek tersebut disiapkan, tiada lagi kejadian bencana banjir besar berlaku walaupun Perlis menerima taburan hujan yang tinggi pada musim-musim tertentu,” ujarnya.
Beliau juga berkata, Perlis mempunyai beberapa projek berimpak tinggi yang bakal dilaksanakan syarikat swasta seperti projek Perlis Inland Port (PIP) dan Sanglang Integrated Jetty (SIJ).
Katanya pelaksanaan projek itu akan menjadikan Perlis sebagai salah satu hab logistik yang unggul bukan sahaja di Malaysia malahan di Asia.
Kata beliau melalui projek ini dapat dimanfaatkan jaringan landasan keretapi yang bersambung sehingga ke China bagi mengangkut kargo. – HARAKAHDAILY 16/1/2023




















