
KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang meneruskan lawatan ke pusat pemindahan sementara (PPS) mangsa banjir di tiga daerah, hari ini.
Beliau turun ke Marang, Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu bagi melawat serta mengagihkan bantuan kepada mangsa banjir.
Menurutnya, seramai 10,073 mangsa daripada 3,074 keluarga bagi ketiga-tiga kawasan itu telah ditempatkan di beberapa PPS antaranya di Sekolah Kebangsaan Atas Tol, Sekolah Kebangsaan Rusila, Sekolah Kebangsaan Rawai, Sekolah Kebangsaan Pengkalan Berangan, Sekolah Kebangsaan Paloh, Sekolah Kebangsaan Kuala Jeneris, Masjid Tengkawang, Sekolah Kebangsaan Kuala Berang dan PPS Kampung Baru Sungai Binjai.
“Alhamdulillah jumlah mangsa yang berlindung di PPS Terengganu telah menurun kepada 38,574 berbanding 40,456 orang pagi tadi.
“Insya-Allah bantuan akan terus dihantar kepada mangsa yang terlibat,” katanya dalam hantaran di Facebook beliau, malam ini.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang berharap semoga rakyat Terengganu bersabar dan tabah dalam menghadapi ujian banjir itu.

Semalam, Tuan Guru Abdul Hadi melawat beberapa buah PPS di Kemaman dan Dungun setelah selesai persidangan Dewan Rakyat. – HARAKAHDAILY 21/12/2022











