Dewan Negara akan catat kehadiran menteri

Tan Sri Dr Rais Yatim
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Kehadiran menteri dalam persidangan Dewan Negara akan dicatatkan bagi memberi gambaran bahawa Kabinet secara kolektif bertanggungjawab kepada Parlimen.

- Advertisement -

Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim, berkata Setiausaha Dewan Negara sesuai dengan semangat Artikel 43(3) Perlembagaan Persekutuan, akan mencatat kehadiran menteri pada sesi-sesi yang akan datang dan sesi yang sedang berlangsung tidak berapa lama lagi.

“Ini adalah khusus bagi memberi gambaran kepada kita bahawa secara kolektifnya, Kabinet itu bertanggungjawab kepada Parlimen.

“Hal ini belum pernah disebut lagi, tetapi penting bagi dewan tertinggi ini mencatatkannya sebagai satu tanggungjawab,” katanya pada Sidang Pertama Dewan Negara Majlis Persidangan Mesyuarat Pertama Penggal Pertama Majlis Parlimen Ke-15, hari ini.

Dr Rais berkata, seramai 17 orang Ahli Dewan Negara telah meletakkan jawatan menjelang Pilihan Raya Ke-15 (PRU15) dengan tujuan bertanding dengan keputusannya, ada yang berjaya dan ada yang tidak.

Sementara itu, katanya enam orang lantikan baharu, iaitu empat orang sebagai menteri dan dua orang sebagai Timbalan Menteri sudah pun mula berkhidmat sebagai anggota pentadbiran.

“Beberapa orang yang kalah dalam PRU15, Alhamdulillah juga dilantik dan berada dalam kumpulan ini.

“Begitulah mulianya Dewan Negara ini. Sentiasa menjadi batu loncatan naik ke atas. Boleh saya tambah dengan menyatakan enjit-enjit semut, siapa bernasib baik naik ke atas,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berharap semoga sebagai Ahli Dewan Negara, rakan-rakan menteri dan timbalan menteri tidak melupai Dewan Negara yang mulia. – HARAKAHDAILY 21/12/2022

- Advertisement -