
KANGAR: Kerajaan negeri menetapkan visi untuk mencapai Perlis Sebagai Negeri Berpendapatan Tinggi Menjelang 2030 manakala misi pula ialah Memacu Pentadbiran Sebagai Kerajaan Prihatin Terhadap Rakyat melalui Perkhidmatan Bersih dan Bebas Salah Laku bagi Menjamin Kestabilan.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli menyatakan demikian ketika menjawab soalan Mohd Ridzuan Hashim (PAS-Guar Sanji) pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, di sini hari ini.
“Bagi merealisasikan kedua-dua visi dan misi ini, pihak kerajaan negeri akan melihat dengan lebih terperinci berkaitan usaha pembangunan infra dan sumber manusia dari semasa ke semasa.
“Kerajaan negeri telah mengenal pasti beberapa aspek pembangunan yang boleh dibangunkan bagi meningkatkan tahap sosioekonomi antaranya menjadikan Perlis sebagai hub logistik berdasarkan kedudukan strategik negeri yang bersempadan dengan Thailand dan kemudahan landasan keretapi sedia ada,” katanya.
Menurutnya, menerusi kerjasama antara kerajaan negeri dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA), projek Perlis Inland Port (PIP) akan terus dibangunkan bagi memastikan matlamat menjadikan negeri ini sebagai hub logistik tercapai.
“Pembangunan PIP dilihat mampu untuk meningkatkan ekosistem pelaburan dengan didukung oleh projek mega lain seperti Chuping Valley Industrial Area (CVIA), Universiti Kuala Lumpur Asia Sustainable Transportation Institute (UniKL-ASTI) dan Lebuhraya Koridor Utara (Northern Corridor Highway – NCH).
“Kita juga akan memberi fokus kepada pembangunan sumber manusia khusus bagi melengkapkan rakyat tempatan dengan kemahiran-kemahiran tertentu terutamanya golongan belia,” katanya.
Selain itu, ujar beliau, pihak kerajaan negeri juga dalam usaha untuk menggalakkan rakyat berniaga bagi meningkatkan pembangunan usahawan seiring dengan prinsip Perlis Bebas Niaga.
“Langkah dan usaha ini amat perlu bagi melengkapkan peniaga-peniaga dengan ilmu pengetahuan yang mencukupi dalam bidang perniagaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/12/2022











