
KUALA LUMPUR: Untuk banjir kali ini, ada tiga berita yang mendahului dengan rasa yang cukup sebak dan tragis.
Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, dua kes berlaku di Terengganu dan satu di Kelantan, kelmarin.
Katanya, kes pertama di Kuala Nerus melibatkan seorang kanak-kanak berusia tiga tahun terjatuh dalam tali air dan mengambil masa untuk ditemui.
Tambahnya, kes kedua di Besut beberapa hari yang lalu di mana seorang ibu emas untuk memulihkan kembali anak dengan usaha menyelamat tetapi kanak-kanak berusia dua tahun itu lebih disayangi Allah.
Beliau berkata, kematian tiga beradik perempuan yang terkena renjatan elektrik dan meninggal sekali gus di Tumpat lebih memilukan.
“Saya membayangkan sebagai bapa mereka, tentu sekali beban yang dilalui amat berat.
“Meskipun demikian, melihat keadaan kita sekadar menumpang di bumi Allah SWT dan hanya menerima pinjaman sahaja, keredaan atas apa yang berlaku pastinya memberikan kembali ketenangan jiwa.
“Selamat bersemadi buat semua mangsa korban di musim tengkujuh kali ini. Semoga semua di bawah rahmat Ilahi,” ujarnya menerusi Facebook beliau, hari ini.
Beliau turut mengingatkan semua penduduk yang berdepan dengan banjir supaya berusaha menjaga keselamatan diri dan keluarga dengan lebih rapi.
Hishamuddin yang juga Ketua Penerangan PAS Terengganu berharap semoga semuanya berada dalam lindungan Allah SWT. – HARAKAHDAILY 20/12/2022











