
KANGAR: Kerajaan Negeri Perlis membentangkan Bajet 2023 dengan memperuntukkan perbelanjaan RM293.36 juta, penyusutan sebanyak RM13.47 juta berbanding peruntukan tahun lepas.
Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli berkata, daripada jumlah tersebut, sebanyak RM180.41 juta diperuntukkan untuk perbelanjaan mengurus dan RM112.95 juta lagi untuk perbelanjaan pembangunan.
“Perbelanjaan mengurus meningkat 2.17 peratus berbanding tahun 2022, di mana sebanyak RM61.05 juta disediakan untuk bayaran emolumen kepada kakitangan awam dan RM74 juta disediakan bagi menampung perbelanjaan perkhidmatan dan bekalan.
“Manakala RM38.39 juta disediakan di bawah pemberian dan kenaan bayaran tetap dan sebanyak RM6.97 juta pula disediakan untuk tujuan aset serta lain-lain perbelanjaan,” katanya ketika membentangkan Bajet 2023 pada Persidangan Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis Ke-15 di Kompleks DUN Perlis di sini hari ini.
Katanya, Bajet 2023 menganggarkan hasil sebanyak RM112.23 juta yang diperoleh daripada hasil cukai sebanyak RM21.87 juta, hasil bukan cukai (RM23.46 juta) dan terimaan bukan hasil (RM66.90 juta).
“Berdasarkan anggaran tersebut, kutipan hasil negeri dijangka meningkat sebanyak RM2.99 juta atau 2.74 peratus berbanding tahun 2022.
“Dengan anggaran hasil ini, kerajaan negeri diunjurkan mengalami defisit sebanyak RM68.18 juta pada tahun 2023, iaitu peningkatan sebanyak RM0.84 juta atau 1.25 peratus berbanding RM67.34 juta pada tahun 2022,” katanya.
Mohd Shukri memberitahu, secara keseluruhan, bajet yang bertemakan ‘Merangka Perubahan, Menjana Kestabilan dan Mendepani Cabaran’ itu merangka pelbagai program untuk kepentingan rakyat keseluruhannya. – HARAKAHDAILY 20/12/2022











