Pengerusi masjid: Hormati pilihan anak kariah

Abdul Razib Abdul Rahman
- Advertisement -

KEPALA BATAS: PAS Pulau Pinang membantah sekiranya terdapat tindakan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) yang bakal menggugurkan beberapa nama pengerusi kariah yang telah terpilih dalam Mesyuarat Agung Tahunan dan Pemilihan AJK Kariah sesi 2023-2025.

- Advertisement -

Ketua Penerangannya, Ustaz Abdul Razib Abdul Rahman berkata, hal itu disebabkan mereka yang terpilih telah melalui proses pemilihan dan menepati Kaedah 5 Jawatankuasa Kariah dan Pegawai Masjid (Negeri Pulau Pinang) 1997, Enakmen Pentadbiran Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang 1993, Pindaan 2003.

Oleh itu, ujarnya PAS Pulau Pinang menuntut MAINPP mengikuti prosedur sebenar iaitu menggunakan Kaedah 32, menyiasat terlebih dahulu sekiranya pengerusi yang bakal digugurkan namanya mempunyai masalah seperti berfahaman sesat, melakukan jenayah dan sebagainya yang dirasakan mereka tidak layak menyandang pengerusi kariah, bukan semata-mata kerana tidak ‘sebulu’ atau tidak berkenan di mata pihak MAINPP.

“Justeru, PAS Pulau Pinang bertegas agar hal ini dipandang serius oleh pihak MAINPP dan perlu hormati keputusan dan pilihan anak kariah sementelah mereka ini dipilih dan dipercayai oleh anak kariah masing-masing,” ujarnya dalam satu kenyataan, di sini.

Beliau berharap semoga mereka yang bersedia berkhidmat untuk anak kariah dalam meninggikan syiar Islam dilantik secara sah dalam keadaan adil dan saksama. – HARAKAHDAILY 11/12/2022

- Advertisement -