2 PPS dibuka di Kelantan hari ini

- Advertisement -

KOTA BHARU: Berikutan hujan yang lebat berterusan sejak tiga hari lalu, banyak tempat rendah di Kelantan kini mulai dilanda banjir.

- Advertisement -

Hari ini dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka iaitu di Sekolah Kebangsaan Melor (Kota Bharu) dan Sekolah Kebangsaan Tok Deh, Pasir Mas/Rantau Panjang.

Seramai 294 mangsa banjir dipindahkan di dua PPS berkenaan yang membabitkan 87 keluarga.

Ahli Parlimen Rantau Panjang, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff ketika dihubungi mengingatkan penduduk di kawasan yang seringkali ditenggelami air supaya sentiasa berwaspada.

Menurutnya, barang-barang berharga dokumen penting hendaklah disimpan di tempat yang selamat.

“Apa yang penting Kak Lah berharap orang ramai sentiasa mengikuti arahan-arahan keselamatan yang dikeluarkan oleh pihak keselamatan.

“Sekiranya diminta berpindah, segera berbuat demikian supaya tidak berlaku sebarang kesulitan sekiranya berpindah awal,” ujarnya.

Siti Zailah juga berkata, PPS Sekolah Kebangsaan Tok Deh merupakan yang pertama dibuka di peringkat awal melibatkan seramai 44 mangsa yang dipindahkan.

Kata beliau mangsa dijangka akan bertambah dari semasa ke semasa berikutan hujan lebat sepanjang hari.

Menurutnya juga mangsa banjir tidak perlu bimbang ketika berpindah ke PPS kerana mereka akan dijaga dengan baik, termasuk disediakan makanan dan tempat tidur bersama keluarga.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada NGO yang membantu mangsa banjir, termasuk team kesihatan dari HUSM Kubang Kerian dan Pasukan Khidmat Parlimen Rantau Panjang untuk menyalur sumbangan berbentuk perubatan, keperluan bayi dan sebagainya.

“Kak Lah juga berharap semua pihak perlu mengambil cakna terhadap mangsa-mangsa banjir. Terima kasih pada agensi kerajaan termasuk PDRM, JKM, APM, Bomba dan Penyelamat dan Rela yang bertungkus lumus membantu supaya mangsa banjir,” katanya.

Siti Zailah turut memantau beberapa kampung yang terlibat dengan banjir antaranya Kampung Bawah Lembah DUN Gual Periuk, Kampung Tok Deh dan beberapa kampung lagi. – HARAKAHDAILY 11/12/2022

- Advertisement -