
KOTA KINABALU: Kesedaran cintakan dan kepentingan menjaga alam sekitar perlu dipupuk sejak kecil lagi.
Menurut ADUN (Dilantik) Sabah, Dr Aliakbar Gulasan, anak-anak perlu diberikan pendidikan awal supaya cintakan alam sekitar.
“Ajarkan anak kita dari kecil untuk menyedari bahawa satu sampah yang tidak dibuang ke tempat yang sepatutnya adalah satu kesalahan bagi memelihara keindahan alam sekitar.
“Saya kira inilah sebahagian daripada kehidupan kita. Jangan dipisahkan antara manusia dan alam,” katanya semasa merasmikan Program Pendidikan Alam Sekitar Prasekolah di Tanjung Lipat Likas kelmarin.
Menurutnya lagi, alam menjadi sebahagian daripada kehidupan dan dalam Islam pun diajar untuk menjaga alam sekitar.
Beliau menekankan, kehidupan manusia tidak boleh lari daripada alam sekitar kerana nafas, kehidupan dan nyawa sebahagiannya bergantung kepada alam sekitar.
“Saya mengharapkan agar dapat melahirkan generasi yang sentiasa menghargai alam sekitar dan sentiasa menjaga kebersihan di muka bumi ini kerana ianya adalah sebahagian daripada tuntutan agama.
“Oleh itu, marilah sama-sama kita menjaga alam sekitar dan terapkan nilai antaranya satu sampah umpama satu dosa,” ujarnya
Program tersebut telah dianjurkan oleh Pertubuhan Kasih Hawa Negeri Sabah dengan kerjasama Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), PERKEPS, Jabatan Amal Negeri Sabah, Briged Muslimat dan PAS Kawasan Sepanggar.
Seramai kira-kira 250 orang murid PASTI Sepanggar, Jemaah Ibu Bapa dan Guru PASTI serta orang awam menyertai aktiviti mengutip sampah dan membersihkan pantai.

Turut hadir bersama dalam program tersebut wakil daripada Jabatan Alam Sekitar sebagai pemberi taklimat sebelum program tersebut bermula. – HARAKAHDAILY 5/12/2022











