
MARANG: Presiden PAS, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang melahirkan rasa gembira dengan penglibatan anak muda yang bersama dengan PERIKATAN NASIONAL pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.
Menurutnya, perkembangan itu ditunjukkan oleh anak-anak muda yang hadir pada program jelajah beliau ke seluruh negara.
“Biasa malam sahaja ramai, tetapi ini pagi pun ramai, pagi petang juga ramai. Itu satu benda yang sangat kita gembira.
“Jadi kita harapnya, pengundi muda ini 40 peratus yang menentukan keputusan pilihan raya, kita harap pengundi muda ini tidak berubahlah,” ujarnya pada program ziarah para petugas di Markas MTD DUN Rhu Rendang, di sini malam ini. (Foto atas)
Katanya, pada PRU14 lalu golongan muda banyak yang mengundi Pakatan Harapan (PH).
Bagaimanapun, ujar beliau pada Pilihan Raya Negeri Johor dan Melaka, mereka tidak lagi mengundi PH.
Tuan Guru Abdul Hadi juga sebahagian daripada mereka mengundi PERIKATAN NASIONAL yang menjadikan jumlah undi meningkat.
Begitupun, jelas beliau jumlah undi itu tidak mencukupi kerana sebahagian besarnya tidak mahu mengundi.
“Yang tak mahu mengundi inilah yang kita mahu keluar supaya mengundi, wajib. Sedangkan orang Cina, orang India mengundi. Kalau kita tak mengundi, bahaya kita,” ujarnya yang bertanding di Parlimen Marang.
Menjawab pertanyaan petugas, beliau menjelaskan peluang PERIKATAN NASIONAL mendapat undi pada PRU15 bertambah baik.
“Peluangnya kita menaik, kita bertambah naik, kejar mengejar dengan PH dan Umno dikatakan menurun. Kita nak ajar Umno ini biar reti sikitlah,” ujarnya lagi.
Beliau berkata, sebahagian pemimpin Umno mahu bersatu dengan DAP dan PH sementara sebahagian lagi tidak setuju.
“Ini yang boleh menolong kita,” ujar beliau lagi.
Tuan Guru Abdul Hadi juga mengingatkan anak-anak muda supaya tidak terpengaruh dengan Pengerusi PH, Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Anwar ini jadi alat DAP sahaja, orang muda-muda jangan terpengaruh dengan dia,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 18/11/2022




















