Pisah agama-negara provokasi terancang perlu ditolak

- Advertisement -

KOTA BHARU: Tindakan seorang calon bebas yang mendakwa agar urusan agama dan negara dipisahkan, dianggap sebagai suara sumbang yang cuba menjatuhkan sebuah kerajaan Islam.

- Advertisement -

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dato’ Ahmad Marzuk Shaary berkata, saranan seperti itu merupakan provokasi terancang yang perlu ditolak rakyat Malaysia.

“Suara sebegini kalau ditakdirkan dia menang tak tahu lah apa yang akan jadi. Oleh itu, kita harapkan rakyat boleh menilai fahaman sekular yang mengasingkan agama dalam pentadbiran kerajaan.

“Mereka cuba menjatuhkan institusi agama. Kenyataan itu dianggap sebagai provokasi yang terancang yang perlu ditolak rakyat Malaysia.

“Kita tahu Islam sebagai agama Persekutuan dan majoriti rakyat dalam Malaysia adalah orang Islam,” katanya ketika ditemui pemberita di sini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berkenaan saranan calon Bebas Siti Kasim yang didakwa mahu Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) ditutup serta urusan agama dan negara dipisahkan.

Marzuk berkata, Islam bukan setakat agama namun ia juga adalah cara hidup.

“Kalau kita tidak mahu mengguna pakai cara dan ajaran Islam, jadi kita nak pakai apa..” soal beliau.

Justeru kata beliau dalam usaha memilih pemimpin rakyat perlu menilai dan memilih mereka yang mempunyai ciri-ciri jujur, berintegriti bahkan tidak terlibat dengan sebarang penyelewengan dan salah guna kuasa.

- Advertisement -