
KOTA BHARU: “Nasihat saya kepada umat Islam supaya berpegang teguh ajaran ahli sunnah, dengan kefahaman Islam tulen yang tidak direka-reka atau dibuat-buat.
“Ajaran baru seakan-akan nampak seperti agama tetapi ia merupakan ajaran sesat yang bermutasi membentuk seakan-akan ajaran islam,” kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Ahmad Marzuk Shaary.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai 63 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Arab Saudi kerana dikatakan tertipu dengan ajaran sesat.
Wisma Putra pada kenyataan hari ini memaklumkan semua 63 jemaah umrah Malaysia yang terkandas di Arab Saudi sejak Jun lalu dibawa pulang ke tanah air.
Kumpulan terakhir baki 23 orang tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada jam 1.20 tengah hari tadi menaiki penerbangan MAS dari Jeddah.
Pada 4 November lalu kumpulan pertama membabitkan 36 jemaah selamat tiba diikuti kumpulan kedua empat orang Isnin lalu setelah terlibat penipuan ajaran sesat.
Media melaporkan, semua jemaah terbabit dikatakan dibawa ke Madinah oleh kumpulan tarekat Naqsyabandiyah Al-Kholidiah untuk mengerjakan ibadah umrah pada Mac lalu.
Namun, mereka dikatakan hanya berada di Madinah dan tidak dibawa ke Makkah untuk menyempurnakan ibadah umrah.
Ketua kumpulan tarekat terbabit dilaporkan diusir keluar oleh Kerajaan Arab Saudi pada 20 Ogos lalu kerana didakwa melanggar undang-undang tempatan.
Oleh itu Ahmad Marzuk menasihatkan umat Islam supaya berpegang teguh dengan ajaran agama yang sebenar yang terkandung dalam akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah yang menjadi anutan seluruh umat Islam seluruh dunia.
Bagaimanapun kata beliau wujud segelintir individu membuat rekaan bagi mewujudkan fahaman baharu yang kelihatan seakan-akan ajaran Islam sebenar bagi mengaburi mata penganutnya. – HARAKAHDAILY 13/11/2022











