Pembangunan infrastruktur di Marang terus dirancakkan

Tuan Guru Abdul Hadi merasmikan Surau Al-Hidayah di Kampung Padang Kabar, Marang semalam.
- Advertisement -

MARANG: Pembangunan infrastruktur dan kemudahan asas di Marang akan terus dirancakkan bagi memastikan keselesaan penduduk.

- Advertisement -

Penyandang kerusi Parlimen Marang, Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang menegaskan, daerah ini yang terletak di kawasan pinggir bandar sudah mempunyai banyak kemudahan asas namun perlu ditambah baik sesuai dengan keadaan semasa.

Katanya, perkara itu akan terus dilaksanakan demi kepentingan masyarakat Marang.

“Marang kedudukan di pinggir bandar, infrastruktur dah ada, kerajaan mesti melaksanakan pembangunan di sini, sesiapa memerintah kena buat, pinggir bandar ini harus didahulukan,” katanya.

Mengulas mengenai peluang pekerjaan di Marang, Tuan Guru Abdul Hadi berkata, rata-rata penduduk di Marang bekerja sendiri terutama sebagai petani dan nelayan.

“Jadi tidak timbul banyak isu berkaitan hal itu, kita cuba usaha bantu untuk pelbagaikan peluang,” katanya ketika ditemui media selepas program bersama komuniti Marang, semalam.

Untuk rekod, projek mega menaik taraf jalan dan membina jambatan baharu yang bernilai RM338.5 juta antara pembangunan sedang berjalan di Marang.

Selain itu, projek tebatan banjir dan pemuliharaan Pantai Rusila turut dijalankan bagi keselesaan penduduk.

Sementara itu, projek Pemuliharaan Muara Sungai Merchang sedang dilaksanakan bermula 15 Disember tahun lalu dengan kos bernilai RM30.5 juta.

Jumlah pendaratan ikan di negeri ini dijangka meningkat semula selepas kerja-kerja mendalamkan muara sungai dilakukan untuk memudahkan nelayan mendaratkan hasil laut. – TRDI.my

- Advertisement -