
BESUT: Kerajaan PAS Terengganu membelanjakan sejumlah RM348,900 untuk membantu 719 penduduk miskin di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jertih.
Pegawai Penyelaras DUN Jertih, Wan Azhar Wan Ahmad berkata, daripada jumlah itu, seramai 569 menerima bantuan Wang Pencen Rakyat dan seramai 50 orang penerima dalam kalangan ibu tunggal dan OKU.
Katanya, sumbangan berkenaan diberi sejak dua tahun lalu tanpa mengira perbezaan politik penduduk dan agama, asalkan mereka layak.
“Rakyat DUN Jertih ada pelbagai kaum dan berlainan ideologi politik, namun kita tidak ambil kira elemen itu. Kita tidak memilih bulu bagi menyalurkan bantuan kerajaan kepada penduduk yang layak,” katanya.
Beliau ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada penduduk pada Majlis Penyerahan i-Bantuan Peringkat DUN Jerteh 2022 di Dewan Gong Kemuntong di sini semalam.
Wan Azhar berkata, sumbangan itu mula diagihkan kepada rakyat sejak dua tahun lalu dan akan diteruskan pada tahun-tahun akan datang.
Kerajaan PAS Terengganu memperkenalkan bantuan Wang Pencen Rakyat bermula tahun lepas membabitkan seramai 19,230 warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas.
Penerima yang layak menerima bantuan RM50 sebulan dan kerajaan negeri membuat pembayaran sebanyak RM300 bagi tempoh enam bulan kepada setiap penerima. – HARAKAHDAILY 12/11/2022











