Bumi yang sedang menjerit

- Advertisement -

37 JUTA orang berhadapan dengan kebuluran di Afrika dan satu pertiga dari Pakistan ditenggelami air adalah hanya sebahagian dari kesan bencana alam yang melanda dunia tahun ini. Dunia sedang menjerit dan tidak ramai memahami atau mendengar akan jeritan ini. Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (United Nations Climate Change Conference) yang ke 27 atau COP27 (Conference of the Parties) yang berlangsung di Sham El Sheikh, Mesir dari 6 hingga 19 November ini sudah tentu hangat membincangkannya. Cuaca yang ekstrem dapat dirasai di setiap pelosok dunia dan setiap tahun menjadi semakin menggerunkan. Kesan perubahan iklim telah melanda lebih pantas dari yang dijangkakan dan berlaku secara tidak menentu sehingga negara-negara maju dan kaya sekalipun tidak berupaya menanganinya dengan sebaiknya.

- Advertisement -

Menurut satu laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB), “The Emission Gap Report 2022 : The Closing Window”, sejak COP26 di Scotland tahun lepas perancangan kerajaan-kerajaan di dunia untuk mengurangkan pelepasan gas rumah kaca adalah sangat tidak mencukupi. Laporan tersebut tidak nampak laluan yang boleh dipercayai (no creditable pathway) untuk menghalang kenaikan suhu global dari melebihi paras 1.5 darjah Celsius. Menurut para saintis kenaikan suhu global melebihi 1.5 darjah Celsius akan memberi kesan-kesan yang membahayakan penduduk dunia. Menurut Setiausaha Agung PBB, António Guterres, dunia perlu memberi tumpuan kepada perubahan iklim atau berhadapan dengan satu malapetaka. 

Laporan PBB itu menggariskan perbezaan (gap) di antara perancangan yang diketengahkan dan realiti sebenar pelaksanaannya. Menurut laporan itu, sasaran 1.5 darjah Celsius itu tidak akan dicapai. Kajiannya mendapati berdasarkan usaha-usaha hari ini, pelepasan gas rumah kaca dunia hanya akan berkurangan sebanyak 1 peratus walhal pengurangan sebanyak 45 peratus adalah diperlukan untuk mencapai sasaran 1.5 darjah Celsius itu. Berdasarkan keadaan hari ini, suhu global akan meningkat sehingga 2.8 darjah Celsius abad ini.

Sehubungan itu, UNEP (United Nation Environmental Programme) yang menghasilkan laporan tersebut menggesa agar berlaku transformasi pada ekonomi dan masyarakat kita. Pengurangan pelepasan satu tugas yang berat tetapi transformasi boleh dicapai di dalam sektor-sektor industri, pengangkutan, bangunan dan penjanaan elektrik. 

Mereka juga berpandangan kesedaran terhadap perubahan iklim perlu ditingkatkan dan ia perlu dibudayakan. Perubahan iklim tidak hanya dibincangkan di peringkat tertinggi tetapi di kalangan rakyat seperti di sekolah malah di rumah. Perubahan iklim perlu juga menjadi isu pilihan raya. Tetapi berapa banyak parti yang menjadikan perubahan iklim sebagai agenda manifesto pilihan raya mereka? Tetapi persoalannya berapa ramai pemimpin politik atau calon pilihan raya yang memahami perubahan iklim dan impaknya kepada kita semua?

Cabarannya adalah untuk menjadikan isu-isu alam sekitar lebih menarik kepada rakyat. Jika mereka tidak tertarik kepadanya sudah tentu mereka tidak akan dapat memahaminya. Isu ini perlu dikaitkan dengan kehidupan seharian mereka contohnya banjir dan cuaca panas atau gelombang haba (heatwave). Mereka perlu difahamkan bagaimana perubahan iklim yang menyebabkan cuaca menjadi lebih panas dan banjir yang melanda menjadi lebih mengejut dan lebih besar. Mereka perlu disedarkan bahawa tindakan-tindakan manusia yang menyumbang kepada perubahan iklim. 

Tetapi jika mereka mengubah gaya hidup mereka, adakah ini akan membantu untuk mengelakkan pemanasan global atau perubahan iklim? Atau adakah sumbangan mereka ini terlalu kecil untuk menyelamatkan dunia dari krisis alam sekitar? Orang ramai boleh menjimatkan penggunaan elektrik, menjimatkan penggunaan air atau tidak menaiki kenderaan sendiri tetapi menggunakan pengangkutan awam walau bagaimanapun adakah ia akan mengurangkan kesan perubahan iklim dengan drastik? Perubahan perlu berlaku di peringkat kerajaan-kerajaan dunia. Justeru COP27 yang sedang berlangsung di Mesir sekarang adalah penting.

200 negara telah dijemput ke COP27. Persidangan ini akan memberi tumpuan kepada 3 perkara iaitu;

1. Pengurangan pelepasan gas-gas rumah kaca.

2. Membantu negara-negara untuk bersiap sedia dan menangani perubahan iklim.

3. Mendapatkan sokongan teknikal dan bantuan kewangan untuk negara-negara membangun menghadapi perubahan iklim.

Kewangan telah menjadi satu isu pada persidangan-persidangan iklim. Pada 2009, negara-negara maju telah memberi komitmen untuk memperuntukkan 100 bilion USD setiap tahun mulai 2020 untuk membantu negara-negara membangun mengurangkan pelepasan dan menghadapi perubahan iklim. Walau bagaimanapun sasaran 2020 telah gagal dicapai dan dianjakkan kepada 2023.

Negara-negara membangun juga menuntut bayaran ganti rugi untuk kerugian dan kebinasaan akibat perubahan iklim. Perkara ini akan dibincangkan pada COP27 setelah dipersetujui oleh Kesatuan Eropah (EU). Sebelum ini negara-negara maju menentangnya kerana bimbang terpaksa membayar ganti rugi untuk bertahun-tahun. Tetapi adalah tidak adil untuk negara-negara seperti Pakistan yang menerima kesan perubahan iklim apabila dilanda banjir besar tahun ini walhal sumbangan mereka terhadap pelepasan adalah terlalu kecil.

Negara maju juga mahu mendapatkan komitmen daripada negara membangun yang besar seperti China, India, Brazil, Indonesia and Afrika Selatan untuk berganjak dari penggunaan arang batu.

Seperti COP26 dan COP-COP sebelum ini sudah tentu negara-negara dunia akan memberi komitmen masing-masing tetapi terdapat saintis-saintis yang berpandangan bahawa usaha-usaha ini telah terlambat. Walau bagaimanapun kita tidak seharusnya berdiam diri. Sesuatu perlu dilakukan. Bumi sedang menjerit dan kita akan sama-sama musnah jika tidak menghiraukan jeritannya.

DATO’ ISKANDAR A SAMAD
Ketua Penyelaras
Pusat Sumber Untuk Kemajuan Masyarakat Dan Perumahan (REACH)  – HARAKAHDAILY 10/11/2022

- Advertisement -