
BAGAN SERAI: Naib Presiden PAS, Datuk Ustaz Idris Ahmad, akan menghadapi persaingan empat penjuru di Parlimen Bagan Serai di sini.
Beliau yang mewakili PERIKATAN NASIONAL (PN) akan menghadapi saingan Zul Helmi Ghazali dari Barisan Nasional (BN), Siti Aishah Shaik Ismail dari Pakatan Harapan (PH) dan Ahmad Luqman Ahmad Yahaya dari Pejuang.
Senarai muktamad calon yang layak bertanding di Parlimen Bagan Serai serta tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Alor Pongsu, Gunong Semanggol dan Selinsing, diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya, Helmi Yusuf di Pusat Penamaan Calon di Kolej Vokasional Kerian di sini, hari ini.
Pada PRU14, Parlimen Bagan Serai dimenangi oleh Dato’ Dr Noor Azmi Ghazali yang bertanding atas tiket BN menewaskan Ustazah Rohaya Bakar (PAS) dan Adam Asmuni (PKR) dengan majoriti tipis 172 undi.
Dr Noor Azmi kemudian menyertai Bersatu pada November 2018 dan tidak bertanding dalam PRU15.
Sementara itu, DUN Alor Pongsu menyaksikan persaingan antara Noor Azman Ghazali yang mewakili PN, Datuk Sham Mat Sahat (BN) dan Khairul Azman Ahmad (PH).
Dalam PRU14, Sham yang juga Ketua Umno Bahagian Bagan Serai muncul sebagai pemenang dengan majoriti 1,162 undi, menewaskan Wan Ahmad Tamizi Abdul Aziz (PAS) dan Ahmad Zaki Husin (PKR).
Bagi DUN Gunong Semanggol, Pesuruhjaya PAS Perak, Razman Zakaria, akan mempertahankan kerusi yang dimenanginya pada PRU14.
Kali ini, beliau yang mewakili PN menghadapi saingan Nazirul Jamaluddin (BN) dan Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar (PH).
Razman yang mendapat 7,444 undi pada PRU14 mengatasi saingan Zaini Cha (BN) dan Ismail Ali (Bersatu) dengan majoriti 1,903 undi.
Satu lagi DUN dalam Parlimen Bagan Serai, iaitu Selinsing dengan PN diwakili oleh Salehuddin Abdullah. Calon lain ialah Mohamad Noor Dawoo (BN) dan Ahmad Saqif Ansarallah Ahmad Jihbaz Mokhlis (PH).

Dalam PRU14, kerusi ini dimenangi oleh BN yang diwakili oleh Mohamad Noor dengan majoriti tipis, 97 undi. Beliau menewaskan calon PAS, Husin Din dan Ahmad Saqif Ansorullah (Amanah). – HARAKAHDAILY 5/11/2022











