Peruntukan khas RM5 juta bantu penduduk kurang mampu

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri mengumumkan peruntukan khas berjumlah RM5 juta untuk diagihkan kepada golongan kurang berkemampuan di Kedah.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, peruntukan tersebut bagi membantu penoreh getah dan pesawah yang benar-benar terkesan.

Selain itu anak-anak yatim yang melanjutkan pengajian di peringkat menengah atau Institut Pengajian Tinggi (IPT) serta keluarga miskin yang tidak mampu menyediakan perbelanjaan pendidikan anak-anak.

“Ia juga melibatkan mereka yang miskin secara tiba-tiba seperti kematian ketua keluarga dan putus harapan untuk meneruskan kehidupan.

“Bantuan khas juga turut diberi kepada 2,910 pegawai masjid dan guru-guru KAFA 3,050 orang,” katanya ketika menggulung perbahasan pada sidang Bajet Kedah 2023 hari ini.

Sanusi juga berkata, peruntukan tersebut disediakan Pegawai Kewangan Negeri dan bantuan daripada Tabung Tengku Mahmud.

Menurutnya juga kerajaan negeri akan membuat pindaan daripada Seksyen 9 kepada Seksyen 10 untuk membolehkan sumbangan kerajaan dan pihak luar dimasukkan ke tabung terbabit.

“Saya yakin dengan keikhlasan kita membantu masyarakat yang memerlukan akan ada golongan kaya atau syarikat besar menyumbang kepada Tabung Tengku Mahmud untuk melaksanakan program kebajikan,” tambah beliau.

Menteri Besar turut mengumumkan penambahan bantuan Beras Sejahtera di setiap Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) di Kedah untuk membolehkan lebih ramai mendapat manfaatnya.

Kata beliau jumlah 150 pek (beras dan barangan keperluan harian bernilai RM50) akan ditambah kepada 200 pek setiap bulan kepada DUN yang diwakili Adun kerajaan.

Manakala 100 pek kepada Adun pembangkang, manakala bagi DUN yang dikendalikan Penyelaras DUN akan dikurangkan daripada 150 pek kepada 100 pek setiap bulan.

“Penambahan itu akan berjalan selama enam bulan dan sekiranya ada keperluan akan dilanjutkan lagi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 2/11/2022

- Advertisement -