
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Bajet Kedah 2023 tetap memberi fokus kepada agenda kebajikan rakyat di bawah inisiatif Bantuan Kedah Sejahtera bagi merealisasikan Gagasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua.
Antaranya, Bantuan Khairat Kematian (RM3 juta), Program Beras Sejahtera (RM3.24 juta), Program Anakku Sejahtera (RM1 juta), Bantuan Pesakit terlantar (RM2 juta) dan Bantuan peralatan perubatan kepada pesakit miskin berjumlah RM500,000.
Selain itu Bajet Kedah 2023 juga memperuntukkan Bantuan Pembaikan Kecil dan Desa Sejahtera masing-masingnya berjumlah RM50,000 kepada Adun kerajaan.
Menteri Besar Dato Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kesemua peruntukan Bantuan Kedah Sejahtera yang disediakan untuk 2023 berjumlah RM35.608 juta.
Manakala katanya Program Pembangunan Prasarana Desa dan Ameniti Sosial diperuntuk sebanyak RM7.5 juta sebagai inisiatif terhadap golongan memerlukan.
Kata beliau peruntukan berjumlah RM170,000 kepada setiap Dun disediakan untuk program pembaikan rumah keluarga miskin.
“Kerajaan menambah peruntukan sedia ada berjumlah RM5.5 juta kepada RM6.12 juta tahun 2023 dengan harapan lebih banyak keluarga miskin dapat tinggal di kediaman yang lebih selesa.
”Bantuan am kerajaan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dinaikkan daripada RM350 ke RM600 bermula Januari 2023 melibatkan lebih 6,000 penerima,” katanya.
Bantuan am berkenaan sebelum ini tidak pernah dibuat pindaan dan pemberian RM350 tidak lagi sesuai dalam keadaan ekonomi semasa sekarang.
Justeru itu kata Sanusi peruntukan tambahan RM3 juta diluluskan kepada JKM menjadikan jumlah keseluruhan RM27.8 juta.
Menurutnya kerajaan negeri juga memperuntukkan RM700,000 untuk pembinaan Rumah Orang Tua Sungai Tengas, Kulim dan dijangka siap November 2023.
“Kerja-kerja pembinaan 10 unit rumah untuk warga emas itu dimulakan pada 2022 disediakan untuk warga emas yang terpilih,” ujarnya.
Kerajaan negeri turut menyediakan peruntukan RM2 juta untuk baik pulih perumahan awam yang usang, RM500,000 pula bagi tujuan penyediaan hakmilik bagi Skim Rancangan Perumahan Awam Negeri Kedah (RPA) melibatkan 69 unit di RPA Bukit Selambau dan 32 unit RPA di Karangan, Kulim.
Menteri Besar turut mengumumkan Bantuan Khas Kewangan sebanyak RM1,500 kepada semua kakitangan awam negeri dan anggota pentadbiran yang melibatkan peruntukan RM8 juta akan dibayar pada Disember 2022. – HARAKAHDAILY 30/10/2022











