
Oleh SARINA ISMAIL
ALOR SETAR: Bajet Kedah 2023 menganggar jumlah hasil tahun hadapan berjumlah RM735 juta iaitu melebihi RM10 juta berbanding tahun lalu.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, daripada jumlah itu penyumbang terbesar daripada hasil cukai berjumlah RM346.95 juta (47.2 peratus), dikuti hasil bukan cukai RM222.92 juta (30.33 peratus) dan terimaan bukan hasil cukai RM165.13 juta (22.47 peratus).
Katanya pecahan hasil mengikut kategori kutipan melalui hasil tanah (RM495.26 juta), pelbagai hasil (RM197.4 juta), hasil hutan (RM30.34 juta) dan hasil daerah (RM12.03 juta).
“Kerajaan negeri juga komited memastikan sasaran terimaan hasil yang ditetapkan dapat dicapai sekurang-kurangnya 95 peratus.
“Sasaran RM1 billion yang disebut pada dialog bajet sebelum ini akan dapat direalisasikan pada 2024 memandangkan terdapat pelbagai perkara berkaitan punca kuasa, aktiviti dan kadar bayaran yang perlu diperhalusi,” katanya ketika membentangkan Bajet Kedah 2023 di Wisma Darul Aman, hari ini.
Justeru itu kata beliau Jawatankuasa Khas Hasil Negeri akan ditubuhkan untuk membantu merealisasikan hasrat dan sasaran berkenaan.
Sanusi berkata, Bajet 2023 dirangka untuk memenuhi gagasan Kedah Sejahtera Nikmat Untuk Semua menyasarkan anggaran perbelanjaan mengurus berjumlah RM839.12 juta, pembangunan negeri RM220 juta, kumpulan wang pembangunan hutan RM7.9 juta, pembangunan kumpulan wang bekalan air RM285.05 juta.
Berikutan itu ujarnya, defisit tahun 2023 dianggar sebanyak RM104.12 juta iaitu 14.17 peratus.
Bajet Kedah 2023 memberi fokus kepada tiga strategi utama iaitu, memulihkan dan mencergaskan pertumbuhan ekonomi domestik, meningkatkan kualiti hidup dan kesejahteraan rakyat serta mengoptimakan teknologi digital dan peningkatan keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat.
“Kita berpegang semangat seperti mana pepatah lama ‘anak yang sentiasa didukung, sampai bila pun tidak boleh berjalan’ maka kerajaan negeri sentiasa berusaha memberi ruang dan peluang kepada rakyat untuk membina kehidupan masing-masing.
“Pemberian bantuan secara tunai hanya diberi secara bersasar. Kerajaan mengambil pendekatan memberi kail, bukan ikan dalam usaha membentuk masyarakat supaya dapat membangunkan ekonomi mandiri dan,” tambah beliau. – HARAKAHDAILY 30/10/2022











