
KHIDMAT Malaysia, Jabatan Amal selaras tindakan bersama agensi awam hadapi bencana.
Mudah-mudahan tiada musibah besar dalam musim tengkujuh ini.
Namun jika ditakdirkan Allah ia berlaku, insya-Allah gerak kerja daripada Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal akan diselaraskan mengikut prosedur dan keperluan bersama agensi-agensi awam.
Berlangsung pagi semalam mesyuarat penyelarasan tindakan bersama agensi-agensi awam yang melibatkan PDRM, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Angkatan Pertahanan Awam dan Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah Kuantan.
Alhamdulillah, persefahaman dicapai khususnya dari sudut keperluan-keperluan yang boleh diselaras dan ditangani bersama dalam mengurus bencana, khidmat masyarakat dan meminimakan kesan kepada mangsa.
Ia dilaksanakan melalui prosedur sedia ada yang diurus dan diatur oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) di mana PDRM bertindak selaku komander operasi.
Banyak input berkaitan prosedur dan panduan yang diberikan oleh para pegawai daripada agensi-agensi terlibat dalam sesi yang diadakan.
Saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih saya kepada semua pegawai yang hadir atas kesudian melapangkan masa dan input-input yang diberikan.
Pelan persediaan selanjutnya adalah memberikan taklimat serta perbincangan di peringkat jawatankuasa operasi dan sukarelawan Khidmat Malaysia dan Jabatan Amal Malaysia.
Insya-Allah, kami siap siaga hadapi musibah atau bencana sekiranya berlaku khususnya di DUN Beserah ini.
Semoga Allah mempermudahkan segala persediaan, persiapan dan urusan-urusan berkaitan serta memelihara kita semua daripada ujian musibah besar.
ANDANSURA RABU – HARAKAHDAILY 28/10/2022














