
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: Majlis Syura Ulamak (MSU) selesai meneliti senarai calon yang akan mewakili PAS pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) 19 November ini.
Mursyidul Am PAS, Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin berkata, kelayakan calon dipilih adalah antara terbaik yang akan mewakili PAS.
Katanya MSU meneliti senarai calon yang dikemukakan PAS negeri-negeri dengan cara mengkaji setiap calon bersama pesuruhjaya PAS setiap negeri.
“Mereka yang dipilih melalui beberapa tapisan antaranya tidak melakukan dosa besar, tidak berterusan melakukan dosa kecil serta akhlak calon tersebut,” katanya ketika ditemui di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) hari ini.
Bagaimanapun kata beliau apabila seseorang itu menawarkan diri untuk bertanding individu tersebut tidak akan disenaraikan.
“Kita ada panduan dan Hadis Nabi Muhammad s.a.w yang membawa maksud untuk tidak meminta jawatan.
“Sebab itu jika dilihat sebelum ini, parti lain berebut jawatan Timbalan Perdana Menteri (TPM), tetapi PAS tidak meminta jawatan terbabit,” ujarnya.
Menurut beliau, mesyuarat MSU mengambil masa hampir enam jam bermula 10 pagi sehingga 4 petang bagi memilih senarai calon yang dihantar.
Kata beliau juga calon yang diluluskan terpulang kepada PAS negeri masing-masing untuk bertanding di kawasan mana.
“PAS di peringkat negeri lebih mengetahui keadaan dan strategi di tempat mereka, pihak MSU hanya memilih kelayakan calon,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/10/2022











