
Oleh AHMAD LI
BEAUFORT: Petugas pilihan raya PAS perlu tampil dengan akhlak yang baik serta mengamalkan budaya kerja yang tersusun.
Menurut Ahli Jawatankuasa Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat, Rahimin Mustafa, semua petugas parti perlu menjalankan peranan masing-masing secara efektif.
“Setiap jentera jangan mengabaikan aspek kerohanian seperti melaksanakan program munajat serta menampilkan akhlak yang baik.
“Semua petugas perlu mengikuti kursus yang dianjurkan sama ada daripada Jabatan Pilihan raya PAS di peringkat negeri mahupun kawasan,” ujarnya ketika merasmikan Pelancaran Jentera PAS Pilihan Raya Umum ke 15 (PRU15) Zon Beaufort, kelmarin.
Beliau turut mengingatkan supaya aktiviti seperti solat hajat dan tazkirah yang dianjurkan oleh Dewan Ulamak mesti disusun pelaksanaannya, agar rasa kebergantungan kepada Allah sentiasa ada dalam diri petugas.
Majlis pelancaran tersebut melibatkan ahli daripada tiga daerah iaitu Membakut, Beaufort dan Sipitang untuk menyelaras serta memperkemaskan lagi gerak kerja jentera sekali gus memberi motivasi kepada semua ahli yang hadir.
Hadir sama Yang Dipertua PAS Beaufort, Uksahah Zubir, Pengarah Jabatan Pilihan raya serta Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan, Syahrazan Noh dan Asrul Samat. – HARAKAHDAILY 24/10/2022











