
Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL
KOTA BHARU: Anak Kelantan di perantauan tidak berhadapan masalah besar mengenai keputusan kerajaan negeri untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Dewan Rakyat.
Mantan Setiausaha Agung Persatuan Anak Kelantan Perantauan Malaysia (Perakan), Azman Awang berkata persatuan itu akan memastikan anak perantau balik mengundi di kampung pada 19 November hadapan.
“Tidak kira ada pilihan raya ke atau dan cuti panjang sikit mereka akan balik ke kampung.
“Jadi pilihan raya dua kali tidak menjadi masalah. Malah ramai sering berulang alik pada cuti hujung minggu,” katanya ketika ditemui di ruang pameran PAS Kelantan di Dataran Warisan di Stadium Sultan Muhammad IV di sini.
Pameran itu diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-32 dasar Membangun Bersama Islam (MBI) yang diadakan bermula semalam sehingga Sabtu ini.
Negeri-negeri di bawah teraju PAS iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan Dewan Rakyat.
Selain itu negeri-negeri di bawah Pakatan Harapan (PH) juga tidak membubarkan DUN iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang.
Azman berkata, anak Kelantan di perantauan tetap memberi sokongan tidak berbelah bahagi terhadap PAS dan Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya semangat anak Kelantan di perantauan terus meningkat selepas mengetahui tarikh penamaan calon dan pembuangan undi seperti diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.
“Saya juga pernah mengalami situasi tersebut malah hasrat itu bertambah semarak lagi bagi terus menyokong kerajaan negeri sekarang,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 20/10/2022











