
GABUNGAN Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) pernah menghantar memorandum agar tempoh kempen sekurang-kurangnya 21 hari. Persoalannya, adakah wajar demikian? Saya berpendapat tak perlu. Tempoh kempen untuk PRU tahun ini wajar antara 10-15 hari dan tak perlu terlalu panjang kerana beberapa faktor.
Pertamanya, tempoh berkempen itu sebenarnya sekadar tempoh rasmi yang dikira bermula dari penamaan calon hingga hari mengundi. Kempen sebenar sudah berlaku sejak Parlimen dibubar, bahkan lebih awal dari itu. Pihak SPR dan Pihak Berkuasa Tempatan kebiasaan agak berlembut dengan parti-parti politik dan membiarkan bendera parti dinaikkan sejak pembubaran Parlimen yang lalu. Bahkan bakal-bakal calon untuk setiap kawasan pilihan raya telah pun mula menggerakkan aktiviti turun padang sejak awal lagi. Jadi soal pengundi tidak sempat mengenali calon juga bukan satu isu yang besar.
Keduanya, pada zaman teknologi maklumat dan sebaran informasi melalui media sosial kini, setiap parti dan calon sepatutnya tidak perlu risau dengan tempoh kempen yang terhad. Bilangan 11 hari sudah memadai untuk menyebarkan maklumat kepada para pengundi. Bahkan jika tempoh lama diberikan untuk berkempen, para pengundi mungkin akan berasa bosan dan muak dengan kebanjiran bahan-bahan kempen yang tersebar sana sini dalam media sosial.
Ketiga, tempoh kempen yang lama akan meningkatkan perbelanjaan kos pembiayaan pasukan keselamatan dan pentadbiran pilihan raya serta kos kempen untuk parti-parti politik. Pengurangan tempoh kempen akan menjimatkan kos ini.
Keempat, tempoh kempen yang terlalu panjang juga boleh membuka ruang kepada risiko yang menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam. Oleh itu tempoh kempen sepatutnya tidak melebihi bilangan 20 hari bagi memastikan keadaan kempen dapat dikawal sebaik-baiknya.
Kelima, PRU kali ini dilaksanakan dalam tempoh musim tengkujuh. Dijangkakan akan berlaku banjir yang besar pada minggu terakhir November nanti. Jadi sewajarnya hari pengundian dipercepatkan sedikit.
Walau bagaimanapun tempoh kempen sepatutnya tidak kurang daripada 10 hari agar wujud keseimbangan antara keperluan untuk memberi hak parti-parti berkempen dan hak pengundi untuk mendapat maklumat, dengan keperluan mewujudkan ketenteraman awam serta perbelanjaan berhemah dalam pengurusan politik.
Selain itu, untuk penetapan tarikh Pilihan Raya Umum kali ini adalah diharapkan hari pengundian ditetapkan pada hari hujung minggu atau mana-mana hari yang sesuai agar tidak menimbulkan kesulitan kepada pengundi yang mengundi di luar kawasan tempat tinggal.
Kita doakan agar Pilihan Raya Umum kali ke-15 ini berjalan dengan lancar dan mendatangkan kebaikan untuk semua.
PROF MADYA DR MUHAMAD FATHI YUSOF
Pensyarah Kanan Undang-undang dan Perlembagaan Universiti Teknologi Malaysia – HARAKAHDAILY 19/10/2022
PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS.












