Berkat berbakti ibu, suri rumah dapat hadiah motosikal

- Advertisement -

Oleh NUR HUSNA SOFIA

JERANTUT: Seorang suri rumah, Norazlima Aziz, 42 tidak menyangka usahanya memberi sebuah motosikal kepada ibunya dibalas segera dengan mendapat hadiah motosikal lebih mahal.

Katanya beliau tidak menjangka Allah SWT membalas dengan memberi sebuah motosikal yang lagi mahal harganya berbanding apa yang diberi kepada ibunya.

- Advertisement -

“Alhamdulillah, tidak menyangka secepat itu Allah membalas kebaikan hamba-Nya,” katanya selepas menerima hadiah cabutan bertuah sempena Karnival Jerantut Sejahtera 2022 di sini, semalam.

Hadiah tersebut disampaikan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man. Karnival Jerantut Sejahtera 2022 dianjur PAS kawasan berkenaan dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat DUN Damak.

Karnival itu bermula pagi sehingga lewat malam tadi membabitkan 20 program. Hadiah cabutan bertuah lain termasuk basikal, seterika stim, vakum, pengisar, pengering rambut, penggoreng udara dan hamper.

Karnival Jerantut Sejahtera diakhiri dengan Forum Perdana Cinta Rasulullah yang disiar secara langsung di laman Facebook TV Makmur.

Norazlima juga berkata, hadiah Honda RSX 150cc yang diterima daripada penganjur akan diingat sampai bila-bila sebagai pengajaran apabila berbakti kepada ibu bapa.

“Kemenangan ini mungkin berkat berbakti kepada ibu. Dua hari lepas sebelum karnival berlangsung saya menghadiahkan ibu sebuah motosikal,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/10/22

- Advertisement -