YADIM sedia 10,000 sukarelawan hadapi banjir

- Advertisement -

PUTRAJAYA: Agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) menyatakan kesediaan menggerakkan seramai 10,000 Sukarelawan YADIM (SAY) di seluruh negara bagi membantu menangani situasi banjir.

- Advertisement -

Ketua Pegawai Eksekutif YADIM, Tuan Kamarul Arief Tuan Soh, berkata SAY di seluruh negara sentiasa bersedia turun padang sekiranya diperlukan.

“Pejabat-pejabat YADIM negeri juga telah diminta sentiasa berjaga-jaga dan segera bertindak bersama para sukarelawan bagi menghadapi bencana tersebut.

“Pada masa yang sama, YADIM juga telah mengaktifkan bilik gerakan banjir di ibu pejabatnya di sini bagi mengatur sebarang inisiatif membantu mangsa mangsa bencana tersebut kelak,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurut Tuan Kamarul Arief, bilik gerakan YADIM pernah digunakan untuk menyelaras gerak kerja bantuan oleh YADIM dalam bencana banjir pada 2020 dan tahun lalu.

Katanya, SAY juga pernah terlibat dalam pelbagai program membantu masyarakat sebelum ini khususnya ketika musibah banjir dengan penyediaan dapur rakyat, penyaluran sumbangan dan khidmat pemulihan tempat kediaman serta fasiliti awam.

Sementara itu kata Tuan Kamarul, SAY Pulau Pinang dan Sarawak telah menerima latihan Asas Civil Defense Emergency Response Team (CDERT) yang memberi pendedahan tentang aspek bantuan kepada masyarakat ketika bencana.

Katanya, anggota SAY negeri lain juga bakal menerima latihan sama bagi memantapkan kemahiran dan pengalaman mereka.

Katanya lagi, para sukarelawan yang terlatih ini kelak akan digerakkan ke kawasan kawasan yang dilanda bencana.

Tambah Tuan Kamarul Arief, orang ramai juga boleh membantu YADIM dalam program bantuan banjir menerusi sumbangan kepada Tabung Infaq YADIM yang boleh didapati di laman web dan Facebook rasmi YADIM.

Beliau mewakili YADIM, turut menyeru rakyat Malaysia yang layak mengundi menjalankan tanggungjawab mereka sebagai pemilih.

Katanya, tanggungjawab itu perlu ditunaikan bagi memastikan negara dipimpin oleh kepimpinan yang berwibawa, berintegriti dan stabil demi masa depan Malaysia yang dicintai. – HARAKAHDAILY 12/10/2022

- Advertisement -