MB Terengganu menghadap Sultan, tidak usul bubar DUN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar mengesahkan beliau menghadap Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin, hari ini.

- Advertisement -

Namun, katanya majlis menghadap itu tidak mengusulkan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.

“Majlis menghadap hari ini hanyalah pertemuan rutin membincangkan hal berkaitan pentadbiran negeri sebelum mesyuarat mingguan exco negeri sepertimana sebelum-sebelum ini,” ujarnya dipetik portal TRDI.my.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Koperasi Pegawai Tadbir Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Naib Presiden PAS berkata, keputusan sama ada DUN Terengganu dibubarkan atau tidak akan diketahui esok (Khamis) selepas mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat.

Begitu juga, ujarnya dengan dua lagi negeri di bawah pentadbiran kerajaan PAS iaitu Kedah dan Kelantan.

Menurutnya, Mesyuarat Jawatankuasa Harian PAS pada pagi semalam memutuskan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan untuk membuat kenyataan rasmi mengenai perkara itu.

“Saya difahamkan perkara yang dibincangkan semalam akan dibawa ke mesyuarat penuh Jawatankuasa PAS Pusat pada pagi esok di Pejabat Agung PAS di Kuala Lumpur,” katanya yang juga Adun Rhu Rendang. – HARAKAHDAILY 12/10/2022

- Advertisement -