Belanjawan Pahang cakupi pelbagai aspek

- Advertisement -

TERIMA kasih kepada Dato’ Sri Yang Dipertua, kerana memberi ruang kepada saya untuk turut sama membahaskan Belanjawan Pahang 2023 yang bertemakan Negeri Stabil Rakyat Sejahtera.

Saya ucap tahniah kepada YAB Menteri Besar serta pasukannya yang telah berusaha keras menyiapkan belanjawan ini dengan baik dan dibentang dengan baik.

Secara umumnya, saya merasakan belanjawan kali ini adalah belanjawan yang baik untuk negeri dan rakyat, kerana ia menggariskan kerangka pembangunan negeri dan mencakupi seluruh aspek kebajikan rakyat.

Dato Sri Yang Dipertua,

Belanjawan ini menyatakan ada 4 kejayaan yang dicapai oleh kerajaan negeri:

1. Peningkatan kutipan hasil sebanyak 1.027 bilion sehingga 6 Oktober 2022. Syukur kepada Allah, kerana Pahang mempunyai tanah yang luas dan subur, yang insya-Allah banyak lagi perkara yang dapat dilakukan ke atas tanah negeri yang boleh mendatangkan manfaat kepada negeri dan rakyat.

2. Berjaya menarik pelaburan 20.56. Mungkin meletakkan Pahang nombor 6 selepas Sarawak (Dari segi negeri, Pulau Pinang menjadi penyumbang utama kepada pelaburan diluluskan ini sebanyak RM83.5 bilion diikuti Kedah (RM68.3 bilion), Kuala Lumpur (RM37.7 bilion), Selangor (RM28.8 bilion) dan Sarawak (RM25.7 bilion).

3. Pengurangan hutang daripada 3.31 bilion kepada 952.21 juta. (Sebanyak RM2.1 bilion hutang Kerajaan Pahang terhadap Kerajaan Persekutuan dihapus kira melalui Perjanjian Tambahan kepada Perjanjian Utama Penstrukturan Semula Industri Perkhidmatan Air Negeri Pahang).

4. Program kebajikan kepada rakyat 77.95 juta. Khususnya selepas pandemik ramai rakyat yang hilang pekerjaan dan pendapatan, kita juga sedang berdepan dengan iklim yang tidak menentu sehingga membawa bencana yang pelbagai. 

Langkah-langkah persiapan yang dirangka oleh kerajaan negeri untuk mengatasi masalah bencana dengan peruntukan 500,000 dan peruntukan 47 juta untuk menangani pasca banjir di negeri Pahang amat baik dan perlu dipantau perlaksanaannya dengan baik dan teliti. 

Usaha-usaha seumpama ini sangat perlu dan Islam memang menitik beratkannya berdasarkan Hadis Nabi S.A.W:

- Advertisement -

وَمَنْ يَسَّر عَلَى مُعْسِرٍ يَسَّرَ الله عَلَيهِ في الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ

“Sesiapa yang memudahkan urusan dan keperluan orang lain yang berada dalam kesukaran dan kepayahan, nescaya Allah memudahkan urusannya di dunia dan di akhirat.”

(Riwayat Muslim)

Dato Sri Yang Dipertua,

Saya ingin menyentuh isu air, kerana ia adalah isu yang kompleks, menuntut perancangan rapi, bajet yang besar, memerlukan tempoh masa serta merupakan keperluan utama dalam kehidupan.

Sebelum itu, saya ucap tahniah dan terima kasih kepada Menteri Besar yang turun padang dan menjelajah ke setiap daerah untuk meneliti perancangan Pengurusan Air Pahang Berhad. Hasilnya 217 projek dikenal pasti perlu dilaksanakan di seluruh negeri. 

1. Dalam bajet yang dibentangkan oleh YAB Menteri Besar Jumaat lalu ada menyebut bahawa dalam tempoh 5 tahun dari tahun 2021 hingga 2025 sejumlah RM2.3 bilion diperlukan untuk menyelesaikan isu air di Pahang.

Persoalannya apa jaminan kerajaan dapat menyediakan sejumlah besar itu dalam tempoh 2 tahun sahaja lagi dari sekarang? 

2. Semenjak PAIP diperbadankan, kita tidak pernah dibentangkan Laporan Audit di dalam dewan. Oleh itu saya mencadangkan Laporan Audit PAIP dibuat dan dibentangkan di dalam dewan ini.

Laporan ini akan menunjukkan keadaan sebenar organisasi PAIP secara menyeluruh termasuk hala tuju, perancangan strategik dan kewangan.

3. Isu TNB, khususnya di kawasan Jengka. Kekerapan berlakunya gangguan bekalan air bukan sahaja berpunca dari paip pecah, pump rosak dan sebagainya. Tetapi saya difahamkan 60 peratus gangguan tersebut berpunca daripada putusnya bekalan elektrik.

Justeru, saya harap pihak TNB dapat memberikan perhatian serius dengan mengupgrade sistem bekalan elektrik dan menyediakan backup yang mampu membekalkan api yang boleh menggerakkan pump air yang memerlukan kuasa elektrik yang tinggi sehingga 11,000kv.

Saya dimaklumkan, usaha-usaha ke arah ini sedang dilaksanakan dan dijangka siap Disember tahun ini.  Harapan saya semoga ia menjadi kenyataan.

Dato Sri Yang Dipertua,

Saya akhiri dengan firman Allah:

إِنَّمَا الْمُؤْمِنُونَ إِخْوَةٌ فَأَصْلِحُوا بَيْنَ أَخَوَيْكُمْ وَاتَّقُوا اللَّهَ لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُون﴾

[ الحجرات:10

“Sesungguhnya orang-orang mukmin itu bersaudara, oleh itu, damaikanlah antara kedua saudaramu yang berbalah dan bertakwalah kepada Allah supaya kamu mendapat rahmat.”

Saya menyokong Bajet 2023.

YB USTAZ SHAHRIL AZMAN ABD HALIM AL-HAFIZ
ADUN Jengka – HARAKAHDAILY 12/10/2022

- Advertisement -