1,055 kes penderaan kanak-kanak direkod JKM

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

PASIR MAS:
Sebanyak 1,055 kes penderaan kanak-kanak direkodkan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di seluruh negara bermula Januari sehingga Jun tahun ini.

Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff berkata, sebanyak 578 kes membabitkan penderaan fizikal, 417 kes penderaan seksual dan 60 kes penderaan emosi.

Katanya, daripada jumlah berkenaan 706 kes membabitkan kanak-kanak perempuan dan 349 kes kanak-kanak lelaki.

Selain itu katanya, berdasarkan statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM), sebanyak 1,348 kes kesalahan seksual kanak-kanak direkodkan dalam tempoh yang sama melibatkan kes rogol berkumpulan, sumbang mahram, seks luar tabii dan cabul.

- Advertisement -

“Selain itu, eksploitasi seksual secara dalam talian terhadap kanak-kanak dilihat semakin meningkat terutamanya kesalahan pornografi kanak-kanak yang membabitkan perkongsian dan capaian bahan pornografi.

“Trend ini menunjukkan perkembangan tidak sihat terutama melibatkan golongan rentan memandangkan pendedahan bahan pornografi kanak-kanak mendorong ketagihan seks,” katanya di sini.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Perasmian Kempen Membanteras Jenayah Seksual Dalam Talian Terhadap Kanak-kanak Peringkat Negeri Kelantan di Dewan Majlis Daerah Pasir Mas hari ini.

Siti Zaiah berkata, pendedahan bahan pornografi kanak-kanak boleh membawa perlakuan seksual yang menjurus kepada kesalahan jenayah seperti rogol, cabul kehormatan dan sebagainya.

Dalam perkembangan sama katanya terdapat peningkatan sebanyak 65 peratus kanak-kanak berumur 5 hingga 17 tahun yang menggunakan internet berbanding pada 2018.

“Kadar penggunaan internet meningkat pada tahun 2020 berbanding 2018 iaitu sebanyak 42 peratus yang mana internet digunakan melebihi sembilan jam sehari tahun ini.

“Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) menjalankan Tinjauan Pendapat Bulan Keluarga Kebangsaan Tahun 2020 mendapati tahap kesedaran kawalan ibu bapa terhadap penggunaan internet anak-anak menurun daripada 62.5 peratus pada 2018 kepada 53.3 peratus (2020).

Menurutnya situasi itu menunjukkan kesibukan ibu bapa mengurus ekonomi keluarga menyebabkan mereka tidak dapat mengawal penggunaan internet dalam kalangan anak-anak.

Malah kata beliau turut didapati telefon pintar merupakan gajet yang popular untuk mendapatkan internet dengan mencapai paras penggunaan sebanyak 98.7 peratus. – HARAKAHDAILY 6/9/2022

- Advertisement -