PAS Kedah iltizam pertahan kemenangan, tambah kerusi

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

ALOR SETAR:
PAS Kedah beriltizam mempertahankan kemenangan dan berusaha menambah bilangan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Timbalan Pesuruhjaya PAS negeri, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi berkata, iltizam itu bukan sahaja mempastikan kemenangan sedia ada dipertahankan sebaliknya merancang untuk kemenangan lebih selesa.

“PAS Kedah masih tidak berpuas hati dengan bilangan 15 DUN dan tiga Parlimen yang diperolehi pada PRU lalu dan pada PRU akan datang jumlah itu akan diusahakan agar bertambah. Ini janji dan komitmen kami,” katanya ketika menyampaikan ucapan penangguhan mewakili pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-68 di Kompleks PAS Kedah, hari ini.

- Advertisement -

Dalam masa yang sama Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah itu juga memohon jutaan kemaafan andainya terdapat kekurangan terutama dari segi persiapan dan lain-lain sepanjang tempoh muktamar berlangsung sejak semalam.

Katanya, pihak panitia telah berusaha bersungguh-sungguh dan sebaiknya untuk kebaikan semua perwakilan dan pemerhati.

Beliau juga mengajak hadirin mengimbau kembali ketika PAS Kedah menjadi tuan rumah pada Muktamar Tahunan PAS pada 2017 dahulu di mana bangunan kompleks serta dewan tempat bersidang berbeza dengan sekarang yang lebih selesa dan cantik.

Katanya, kejayaan PAS negeri membangunkan kompleks yang tersergam indah itu adalah hasil  sumbangan ahli dan orang ramai melalui kempen sehari 50 sen yang dirasmikan oleh Tuan Guru Presiden PAS.

“Alhamdulillah, Kompleks PAS Kedah berjaya disiapkan dengan kos RM6.7 juta berkat kerjasama semua pihak,” tambahnya. – HARAKAHDAILY 4/9/2022

- Advertisement -