
Oleh SALMIAH SAPPE
SANDAKAN: Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat PAS Batu Sapi meriah dengan kehadiran hampir 1,000 orang penduduk sekitar kawasan Parlimen Batu Sapi di Padang MPS Karamunting dekat sini semalam.
Dalam sambutan tersebut pelbagai acara telah dipertandingkan antaranya larian merdeka, pertandingan mewarna bagi kanak-kanak, pertandingan memasak dan persembahan silat daripada Silat Spring Gayong Pecah 12 serta banyak lagi
Pengarah program, Masru Mustaqeem berkata sambutan itu merupakan julung kali diadakan di parlimen Batu Sapi bagi menyemai semangat kemerdekaan dalam kalangan masyarakat setempat.
Selain itu, taklimat daripada agensi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) turut diadakan bagi memperkenalkan perkhidmatan yang disediakan kepada masyarakat kampung.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Sabah, Sahar Abdul Majid ketika hadir merasmikan majlis berkata, semua individu perlu terus memerdekakan diri dengan sentiasa meningkatkan ilmu terutama dalam amalan seharian.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Ketua Muslimat PAS Negeri Sabah, Norsah Bongsu dan Ketua Srikadi BERSATU Batu Sapi, Hasma Nurdin. – HARAKADAILY 1/9/2022











