Kongsi pengalaman dan kepakaran kepada ahli PAS

- Advertisement -

ALOR SETAR: Pimpinan atau Pemuda PAS yang mempunyai jawatan di dalam parti atau organisasi kerajaan disaran berkongsi kepakaran dan kemahiran sepanjang menggalas tanggungjawab itu.

Pembahas Dewan Pemuda PAS Kedah, Ku Abd Muhyi Ku Abd Hamid berkata, pengalaman dan kepakaran itu perlu dimanfaatkan dan diturunkan kepada ahli PAS yang lain.

- Advertisement -

Katanya, belilau tidak mahu melihat manfaat pengalaman dan kepakaran itu disia-siakan dan hanya berlegar dalam kalangan golongan berjawatan sahaja.

“Kita tidak mahu manfaat, ilmu, pengalaman, hanya berlegar di sekitar orang-orang yang memegang jawatan sahaja.

“Contohnya, apabila (orang lain) akan jadi Exco Pemuda baharu, atau jawatankuasa Pemuda baharu, mereka yang tidak memegang sebarang jawatan atau terlibat dalam organisasi kerajaan, tidak tahu apa-apa.

“Pemuda PAS perlu bersedia melahirkan generasi pemuda yang mempunyai kemahiran dan kemahiran itu dikongsi dengan sahabat lain,” katanya semasa membahaskan ucaptama Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM), pada persidangan Muktamar DPPM kali ke-63 di sini, hari ini.

Selain itu, Ku Abd Muhyi turut menuntut Pemuda PAS mempunyai hubungan baik di semua peringkat serta membina hubungan sebagai sebuah keluarga.

Katanya, tidak wajar untuk Pemuda PAS menjadi pimpinan yang minta dilayan seperti orang ternama.

“Kita tidak mahu kita sebagai pimpinan, apabila turun ke kawasan dan negeri, mahu dilayan seperti orang besar.

“Hendak bercakap mesti berlapik, hendak datang mesti berhidang, hendak makan mesti dijemput, tiada kamera tidak mahu turun,” katanya.

Di samping itu, Ku Abd Muhyi juga berharap Pemuda PAS bijak dan mampu menyediakan jalan penyelesaian melalui solusi Islam yang digariskan.

Katanya, pengurusan organisasi Islam mestilah dipraktikkan dalam kalangan pemuda PAS sendiri, apatah lagi apabila mempunyai tenaga sumber manusia yang banyak.

“Jadi, bagaimana kita menguruskan sumber manusia yang kita ada supaya setiap tenaga yang kita ada dapat dimanfaatkan mengikut kepakaran dan keperlan masing-masing.

“Kadang-kadang ada orang yang dibebankan dengan pelbagai amanah dan tugasan berat, tetapi ada dalam kalangan kawan-kawan kita ‘tak tahu pun’, ‘tidak terlibat’.

“Seolah olah kita masih ada kelemahan dalam menguruskan tenga kerja dan tenaga manusia yang ada dalam PAS sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -