Jentera PAS perlu ambil iktibar perjuangan ulama terdahulu

- Advertisement -

Oleh AMIRUL SYAHMI

BALIK PULAU:
Keluhuran PAS yang mempunyai susur galur daripada perjuangan ulama terdahulu dan telah berakar umbi sebelum bermulanya penjajahan di Tanah Melayu.

Pusat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Zuhdi Marzuki berkata, ini perlu dijadikan iktibar kepada jentera untuk bersedia serta memberi sepenuh fokus kepada gerak kerja kemenangan terhadap musuh utama PAS iaitu PH-DAP serta meneruskan perdamaian antara parti-parti Melayu di Pulau Pinang.

Beliau yang juga Timbalan Pengarah Pilihan Raya PAS Pusat menyatakan demikian pada Majlis Pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Parlimen Balik Pulau di Markaz PAS Kampung Perlis, kelmarin.

- Advertisement -

Zuhdi juga menyeru seluruh rakyat, penyokong dan parti politik orang Melayu untuk bersatu di bawah agenda penyatuan ummah.

Majlis pelancaran itu menjadi isyarat bahawa bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin terasa serta melihatkan juga komentar-komentar serta gelombang persediaan PRU daripada para pimpinan parti politik yang lain.

Ia bermula dengan pelbagai aktiviti seperti konvoi ARC, Sembang Santai Pemuda bersama Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, aktiviti memanah dan menunggang kuda seterusnya majlis istighasah.

Pesuruhjaya PAS negeri, Ustaz Muhammad Fauzi Yusuf pula dalam ucapannya menegaskan bahawa pelbagai masalah dan krisis telah timbul di negeri ini sepanjang berada di bawah pemerintahan DAP.

Menurutnya, perlaksanaan projek-projek yang berfokus kepada golongan mewah dan langsung tidak memberikan manfaat kepada komuniti dan rakyat.

Ini, katanya ditambah pula dengan isu pembinaan penempatan asrama warga asing di kawasan Teluk Kumbar dan Sungai Batu yang sudah tentu mendatangkan lebih banyak implikasi buruk serta kesan negatif kepada penduduk Balik Pulau khususnya.

Beliau turut menyatakan bahawa PAS Balik Pulau akan terus memfokuskan seruan penyatuan ummah serta berusaha memastikan pertandingan satu lawan satu harus dijadikan agenda utama di Pulau Pinang dalam PRU15 nanti. – HARAKAHDAILY 1/9/2022

- Advertisement -