
Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR
KOTA BHARU: Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) berharap orang ramai mempertahankan status Pasar Besar Siti Khadijah sebagai pasar terbersih tahun lepas.
Yang Dipertuanya Rosnazli Amin berkata, usaha untuk memastikan anugerah itu dipertahan dilakukan MPKB BRI setiap masa.
Bagaimanapun katanya, usaha itu perlu dibantu peniaga, anggota masyarakat dan badan bukan kerajaan (NGO) bagi memastikan pasar berkenaan sentiasa bersih dan ceria.
“MPKB BRI mempergiatkan kempen kebersihan sebagai persiapan menyambut kedatangan pelancong pada cuti sekolah minggu hadapan.
“September ini dijangka ramai pelancong akan ramai datang ke Kelantan dan antara tumpuan mereka Pasar Besar Siti Khadijah,” katanya ketika ditemui media selepas merasmikan Program Local Agenda 21 dan Gotong Royong Zon Bersih Indah Ceria di Pasar Besar Siti Khadijah hari ini.
Lebih 300 peserta mengambil menyertai program tersebut yang bermula jam 9 pagi. Antara agensi terlibat Jabatan Kesihatan Negeri, MPKB-BRI, Universiti Malaysia Kelantan (UMK), Cakna Palestine dan Dewan Perniagaan Cina.
Pasar Besar Siti Khadijah dinobat johan kategori Pasar Awam Terbersih sempena Sambutan Hari Kesihatan Persekitaran Sedunia Peringkat Kebangsaan Tahun 2021.
Rosnazli juga berkata, pasar terbabit menjadi tumpuan pelancong memandangkan terdapat banyak kedai menjual barang kemas dan pelbagai jenis makanan.
Kata beliau tiada pasar lain di Kelantan yang mempunyai banyak premis menjual emas, barangan kemas dan pertukangan emas perak.
“Mungkin keunikan reka bentuk emas itu sendiri atau pemilik kedai orang sebahagian besar orang Melayu menyebabkan ia menjadi tumpuan orang ramai termasuk pelancong,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 30/8/2022











