Semarakkan semangat patriotisme sempena Hari Kemerdekaan

- Advertisement -

KITA bakal melangkah ke arah tarikh ulang tahun kemerdekaan negara dalam masa beberapa hari lagi iaitu pada tarikh 31 Ogos. Hari kenegaraan ini seharusnya disambut oleh seluruh rakyat dalam negara dengan penuh kebanggaan dan semangat patriotik melangkaui batas agama, bangsa, mahupun status sosio-ekonomi, pimpinan atau rakyat biasa. 

Bersesuaian dengan tema Hari Kemerdekaan pada tahun ini iaitu Keluarga Malaysia Teguh Bersama, amat rugi kiranya semangat kekeluargaan di kalangan rakyat untuk menyambut hari patriotik lagi bersejarah ini tidak meriah dan diraikan bersama. 

Sejak sekian lama, kibaran Jalur Gemilang di seluruh negara seolah-olah menjadi amalan wajib sebagai manifestasi bagi menyemarakkan sambutan bulan kebangsaan atau bulan kemerdekaan negara. Golongan pelajar telah dilatih untuk belajar dan menghormati Jalur Gemilang sejak di bangku sekolah lagi.

Namun, pada waktu ini kelihatan semangat dan suasana bagi menyambut bulan kemerdekaan ini agak dingin dan hambar oleh rakyat Malaysia. Situasi ini amat mengecewakan kerana bulan kemerdekaan merupakan waktu kemuncak bagi setiap warganegara menzahirkan kecintaan kepada negara.

Bahkan, kelihatan tidak banyak rumah dan pejabat di seluruh negara mengibarkan Jalur Gemilang. Juga tidak kelihatan banyak kenderaan mengambil inisiatif untuk meletakkan bendera mini sebagaimana kita harapkan ia akan mewarnai jalan raya di seluruh pelosok bandar. 

Seharusnya rakyat Malaysia terutama para pemimpin mengambil inisiatif memperhebatkan dan mempertingkatkan semangat Patriotisme dengan mengibarkan Jalur Gemilang di rumah dan kenderaan masing-masing. Kita perlu berasa ralat jika generasi muda nanti mengamalkan sikap tidak peduli terhadap signifikannya Jalur Gemilang ini akibat sikap lalai orang dewasa seperti kita terhadap semangat cintakan negara.

Kerajaan, di setiap peringkat pentadbiran perlu mempertingkatkan kempen kesedaran terhadap peri pentingnya usaha ini melalui media sosial dari masa ke masa. Usaha berterusan oleh kerajaan sangat perlu kerana penanaman kesedaran semangat Patriotisme ini menjamin masa depan negara yang lebih teguh dan stabil. Jangan ada rakyat Malaysia yang tidak tahu tema Hari Kebangsaan Kita pada tahun ini. 

“Keluarga Malaysia Teguh Bersama”
“Islam Menyatukan Ummah”

YB DATO’ CHE ABDULLAH MAT NAWI
Ahli Parlimen Tumpat – HARAKAHDAILY 26/8/2022

- Advertisement -
- Advertisement -