
JOHOR BAHRU: Galeri Media Serbaneka Sdn Bhd (GMSB), syarikat media bagi portal berita HarakahDaily dan akhbar Harakah telah menerima anugerah daripada Majlis Persatuan Pentadbir Universiti Awam Malaysia (MASTI).
Anugerah Khas MASTI yang diterima itu telah disampaikan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dato’ Dr Ahmad Fauzi Ismail dan Presiden MASTI, Raja Shah Erman Raja Arifin di Pulai Spring Resort, di sini.
Ketua Pegawai Kewangan GMSB, Shahzada Mohammad Nisar Ahmad Salimi hadir menerima anugerah tersebut pada Majlis Anugerah Gemilang MASTI (MAGMA) 2022 yang bertujuan memperkasa kecemerlangan staf universiti awam itu, semalam
Dengan penganugerahan tersebut sekali gus telah mengiktiraf HarakahDaily dan Harakah yang merupakan media rasmi PAS dalam sumbangannya kepada penulisan berkaitan institusi pengajian tinggi awam di negara ini.
Anugerah ini menjadi penghargaan daripada MASTI atas komitmen dan sokongan diberikan media dalam penerbitan berita dan artikel yang memberi manfaat berterusan kepada agenda pembangunan pentadbir universiti awam Malaysia.
Shahzada berharap anugerah ini merangsang semangat warga kerja GMSB untuk lebih gigih dan terus berperanan menyampaikan maklumat dan pengetahuan yang sahih, benar, tepat dan semasa untuk semua segmen rakyat.
Walaupun HarakahDaily dan Harakah merupakan media berteras politik, namun sedaya upaya menampilkan komplementari kandungan yang seiring dalam kehidupan rakyat dan pembangunan negara ini. – HARAKAHDAILY 21/8/2022











