
Oleh NIK MUHAMMAD NASRI BIN NIK MALEK
ORANG Melayu zaman berzaman dikenali sebagai bangsa yang beradab dan penuh adat sopan. Yang mendasari hidupnya ialah kerana dia beragama Islam.
Ajaran Islam pula meliputi segenap aspek hidup. Dari pegangan akidahnya hinggalah kepada hukum hakam amalan zahir dan sifat hati seseorang.
Walaupun demikian, di sepanjang zaman, tetap ada manusia yang tiada adab dan sopan, juga dalam pelbagai bentuknya.
Di zaman yang ada kecanggihan teknologi, ia disalah guna membudaya dan menormalisasi nilai-nilai tiada adab dan tiada sopan. Orang Barat sudah lama runtuh nilai diri dan maruahnya.
Tidak pelik kalau mereka mempromosikan gaya hidup yang tiada akhlak dan adab. Teknologi khususnya melalui media sosial kini menjadi medan mempromosi nilai tiada adab dan sopan tadi.
Adakah orang Melayu Islam juga terikut-ikut dengan budaya tidak sopan dan tiada adab ini? Di mata Barat mungkin ia tidak ada apa-apa. Demikian juga di mata orang yang fasiq.
Namun, agama yang suci ini telah membimbing kita agar dipegang sungguh-sungguh nilai sopan dan beradab itu. Dalam sebuah hadis telah diingatkan:
عَنْ ابْنِ عُمَرَ أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ إِنَّ اللَّهَ عَزَّ وَجَلَّ إِذَا أَرَادَ أَنْ يُهْلِكَ عَبْدًا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ فَإِذَا نَزَعَ مِنْهُ الْحَيَاءَ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا مَقِيتًا مُمَقَّتًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا مَقِيتًا مُمَقَّتًا نُزِعَتْ مِنْهُ الْأَمَانَةُ فَإِذَا نُزِعَتْ مِنْهُ الْأَمَانَةُ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا خَائِنًا مُخَوَّنًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا خَائِنًا مُخَوَّنًا نُزِعَتْ مِنْهُ الرَّحْمَةُ فَإِذَا نُزِعَتْ مِنْهُ الرَّحْمَةُ لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا رَجِيمًا مُلَعَّنًا فَإِذَا لَمْ تَلْقَهُ إِلَّا رَجِيمًا مُلَعَّنًا نُزِعَتْ مِنْهُ رِبْقَةُ الْإِسْلَامِ
Daripada Ibnu Umar, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Sesungguhnya apabila Allah hendak membinasakan seorang hamba maka Allah akan mencabut rasa malu darinya, apabila rasa malu sudah dicabut darinya maka dia akan selalu bertemu dengan orang yang memuakkan dan suka menebar kebencian.
Apabila ia sudah sering bertemu dengan orang seperti itu, maka sifat amanah pada dirinya akan hilang. Apabila sifat amanah telah dicabut darinya, maka dia akan selalu bertemu dengan orang yang suka berkhianat (menipu) dan dikhianati (ditipu).
Jika dia sudah sering bertemu dengan orang seperti itu maka akan dicabut darinya sifat kasih sayang, dan apabila dicabut darinya sifat kasih sayang maka dia akan selalu bertemu dengan orang yang terlaknat. Dan apabila dia sudah sering bertemu dengan orang yang terlaknat, maka ikatan Islam akan terlepas daripadanya.” (HR Ibnu Majah No: 4044)
Bermula dari rasa malu yang dicabut, ia boleh sahaja melarat kepada perkara yang lebih besar dari itu.
Nabi SAW menyebut:
إِنَّ مِمَّا أَدْرَكَ النَّاسُ مِنْ كَلَامِ النُّبُوَّةِ إِذَا لَمْ تَسْتَحْيِ فَافْعَلْ مَا شِئْتَ
‘Sesungguhnya di antara perkara yang didapatkan manusia dari perkataan para Nabi ialah; ‘Jika kamu tidak malu, buatlah apa yang kamu mahu”.(HR Bukhari No: 3224).
Mukmin yang sebenar ialah yang tahu adat sopan, adab dan nilai yang baik. Dasarnya mesti agama yang menjadi rujukan. Kalau rujukannya nafsu semata-mata, terpulanglah. Saya hanya menyampaikan.
Penulis adalah Pegawai Khas (Agama) Pejabat Menteri Besar Terengganu. – HARAKAHDAILY 20/8/2022











