
KOTA BHARU: Skuad sepak takraw Kelantan sedang menjalani latihan bersama pasukan Tentera Laut Diraja Thailand, sebagai persiapan menghadapi temasya Sukan Malaysia (Sukma) ke-20 di Kuala Lumpur dari 16 hingga 24 Sept.
Presiden Gabungan Sepak Takraw Kelantan (GASTAK) Zuraidin Abdullah berkata latihan dari 10 hingga 30 Ogos itu, diadakan di Universiti Pathumthani, Bangkok.
“Selain skuad Sukma Kelantan, turut serta dalam latihan itu beberapa pemain mewakili pasukan tersebut dalam Liga Takraw Thailand.
“Skuad Sukma Kelantan berpeluang mengasah ‘taring’ dalam latihan itu, berikutan ia turut dikendalikan oleh bekas tekong kebangsaan Thailand Niphat Wongprasoet,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Pada Sukma Perak 2018, Kelantan membawa pulang satu pingat emas dan satu gangsa, masing-masing dalam acara beregu dan antara regu.
Mengulas lanjut, Zuraidin berkata selain meningkatkan kemahiran pemain sebelum pertandingan sebenar, latihan tersebut juga membuktikan skuad Sukma Kelantan serius dalam misi membawa pulang dua pingat emas pada temasya itu nanti.
“Kita sasar dua pingat emas pada temasya kali ini menerusi acara antara regu dan beregu. Latihan ini sebagai persiapan terakhir untuk memberi cabaran sengit kepada pasukan lain,” katanya. – BERNAMA











