Sekolah Kemboja ambil peperiksaan dikendali YIK

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN | Foto RIZAL TAHIR

KOTA BHARU:
Sebanyak dua sekolah dari Kemboja turut mengambil peperiksaan sijil agama yang dikendalikan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

Peperiksaan terbabit iaitu Sijil Menengah Ugama (SMU), Sijil Menengah Tahfiz al Quran (SMTQ), Sijil Menengah Ugama (DINI) dan Sijil Tinggi Ugama Pondok (STUP).

Pengarah YIK, Engku Rajhan Engku Ismail berkata, 11 sekolah agama dari luar Kelantan dan dua (Kemboja) menduduki peperiksaan tersebut yang dikendalikan YIK.

Selain itu katanya sebanyak 18 sekolah swasta termasuk lima dari Kelantan yang menduduki peperiksaan tersebut.

- Advertisement -

“Peperiksaan yang diadakan pada 14 hingga 24 Februari dan 20 hingga 27 April melibatkan 106 pusat peperiksaan daripada 97 sekolah.

“Daripada jumlah itu 79 sekolah di bawah kendalian YIK dan selebihnya dari luar Kelantan,” katanya pada pengumuman peperiksaan tersebut baru-baru ini.

Seramai 5,604 calon menduduki peperiksaan tersebut daripada keseluruhan calon yang berdaftar seramai 6,477 orang.

Jumlah itu termasuk seramai 341 calon dari sekolah swasta di Kelantan dan seramai 179 calon sekolah agama swasta dari negeri-negeri lain serta 20 calon persendirian.

“Saya mengambil peluang ini untuk mengucap tahniah kepada semua pelajar yang berjaya dalam semua peperiksaan yang telah melakar sejarah.

“Ucapan yang sama saya berikan kepada guru dan ibubapa masing-masing di atas kejayaan terbabit,” ujarnya.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi negeri, Azhar Salleh pula berkata, seramai 412 pelajar Sekolah Menengah Ugama (Dini) dan Sekolah Menengah Tahfiz Quran YIK meraih pangkat mumtaz (cemerlang) bagi semua mata pelajaran peperiksaan SMU.

Maahad Tahfiz Al-Quran Wal Qiraat Pulai Chondong mencatatkan gred purata sekolah (GPS) 1.03, manakala Maahad Sains Tok Guru (1.10) dan Maahad Tahfiz Sains Tanah Merah (1.16).

“Gred purata Sekolah Menengah Ugama (Dini) dan SMTQ iaitu 3.52 peratus pada 2020 menurun kepada 4.06 peratus pada 2021,” katanya. – HARAKAHDAILY 12/8/2022

- Advertisement -