RM40 juta laksana Program Bandar Selamat di 24 PBT

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan menerusi Kementerian Dalam Negeri (KDN) memperuntukkan RM40 juta dalam tempoh empat tahun bermula tahun ini bagi melaksana Program Bandar Selamat di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan) Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia), Hassan Yaakob berkata, sebanyak 24 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di negara ini disenarai dan diagihkan bagi melaksanakan Program Bandar Selamat pada 2022.

Katanya ia pihaknya membuat penyelarasan dengan melakukan penilaian sama ada projek yang dicadangkan PBT bersesuai untuk membuat Program Bandar Selamat atau sebaliknya seperti yang ditetapkan.

“Melalui peruntukan yang diberi kita mengagihkan ke seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak. Agihan berkenaan membabitkan RM400,000 hingga RM500,000 mengikut permohonan projek dan keperluan setiap PBT.

“Sebagai contoh, ada PBT yang memohon untuk melakukan pejalan kaki untuk mengelakkan berlaku kemalangan atau pun jenayah di kawasan-kawasan panas. Kebiasaannya data berkenaan dibekalkan Polis Diraja Malaysia (PDRM),” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas hadir program tanggungjawab sosial korporat (CSR) pembersihan dan pengindahan Pantai Kundor di Pantai Kundor di sini hari ini.

Katanya di Kelantan, PBT yang terlibat di bawah Program Bandar Selamat ialah Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandar Raya Islam yang melibatkan kawasan perumahan Flat Buluh Kubu dengan kos sebanyak RM400,000.

“Peruntukan itu membabitkan kawasan perumahan Flat Buluh Kubu di Kota Bharu dengan hasrat ia dapat mewujudkan persekitaran hidup yang lebih selesa, selamat dan berkualiti kepada masyarakat setempat.

“Malah, kesemua peruntukan yang diberikan kepada setiap PBT hendaklah digunakan dalam tempoh tahun yang sama, kami turut melakukan pemantauan bagi pelaksanaan projek dari semasa ke semasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2022

- Advertisement -