MPP bukan alat politik universiti

- Advertisement -

BARU-baru ini, terdapat beberapa kenyataan media yang dikeluarkan oleh Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) di beberapa buah universiti menyatakan bantahan serta kutukan terhadap gerakan pelajar yang mengadakan demonstrasi jalanan bagi membawa isu demo #turun. Walau bagaimanapun, kebanyakan mahasiswa merasa kurang senang dan tidak berpuas hati dengan tindakan yang dilakukan oleh segelintir Majlis Perwakilan Pelajar seolah-olah mereka tidak menyebelahi suara pelajar dan membela nasib mahasiswa.

Hal ini kerana, kenyataan yang dikeluarkan itu merupakan satu kerahan dari pihak universiti agar para pelajar tidak berpartisipasi dalam demonstrasi tersebut. Rentetan daripada itu, kita dapat lihat bahawa pihak atasan masih lagi mengekang badan pelajar seolah-oleh mereka mencampuri urusan politik dalam Majlis Perwakilan Pelajar. Ini menunjukkan satu penafian sejauh mana sebenarnya kuasa politik mahasiswa di dalam kampus sedangkan suara mahasiswa sendiri dikawal.

GAMIS menyarankan kepada MPP seluruh Malaysia agar menjadi pihak berkecuali dan bertindak sebagai wakil suara mahasiswa dengan kebebasan suara serta autonomi yang dimiliki tanpa terikat dengan mana-mana pihak. Hal ini kerana, ini adalah tanggungjawab dan kepercayaan yang diberikan daripada mandat pelajar untuk menyuarakan isu-isu mahasiswa dengan pelbagai pendekatan. Justeru, MPP perlulah bersikap lebih proaktif dan progresif dalam membela nasib mahasiswa serta menyebelahi mereka dalam apa jua isu.

Walau bagaimanapun, pihak KPT perlu memberikan perhatian dan memastikan bahawa politik di dalam kampus dapat digiatkan dengan baik oleh pelajar. Pihak KPT dan juga pihak universiti tidak seharusnya mencampuri pergerakan bagi urusan MPP dalam usaha membawa suara-suara mahasiswa. Mereka merupakan badan pelajar yang dilantik oleh mahasiswa dan tugas mereka adalah mewakili suara pelajar dan bukan mewakili suara KPT dan pihak universiti semata-mata. 

Sehubungan dengan itu, tidak dinafikan bahawa tindakan demo #turun tersebut merupakan desakan kepada pihak kerajaan untuk bertindak dengan lebih agresif dalam menangani isu kenaikan isu harga barang dan kos sara hidup yang tinggi pada masa kini. Walau bagaimanapun, ia bukanlah satu tindakan yang wajar oleh pihak kerajaan dan universiti untuk mengekang mahasiswa untuk bersuara bagi menyumbangkan idea dan pandangan.

Apa yang perlu ditekankan di sini adalah sejauh manakah integriti dan ketulusan yang dijalankan oleh pihak kerajaan dalam menghadapi masalah ini. Begitu juga di peringkat Parlimen yang masih lagi bergelumang dengan budaya provokasi dan bukan menyelesaikan masalah inflasi ini secara kolektif, tidak kira pihak kerajaan ataupun pembangkang. Apakah Ahli-ahli Parlimen benar-benar menggunakan pentas Parlimen sebagai medan berbahas untuk kepentingan rakyat? 

Mahasiswa sentiasa memerhati akan apa yang dilakukan oleh pihak kerajaan. Maka, kami mengharapkan pihak kerajaan memberikan perhatian sepenuhnya akan perkara ini. Siri demonstrasi jalanan yang dilaksanakan oleh pihak-pihak tertentu seharusnya menjadi ‘push-factor’ kepada kerajaan untuk sentiasa memastikan yang terbaik buat rakyat.

Kenyataan bersama:

1. Inspirasi Varsiti UKM
2. Kesatuan Mahasiswa UUM 
3. Siswa Irenic UTHM
4. WUFI, UIAM
5. Neo-Siswa UM
6. UNITY, UPSI
7. SPU, UTeM
8. SMI, USIM
9. SiswaPAS
10. Mahasiswa United

“Membangun Kesatuan Mahasiswa” – HARAKAHDAILY 27/7/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/175982485876128/posts/pfbid02JvmvQUyigEM7YXTiTeyrp1iku3KJb17VjZP1hn5U2CquKKyj6wqcTAogPLByNL2Cl/

- Advertisement -
- Advertisement -