Jangan ulangi kesilapan ISA dalam SOSMA

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu memantau perjalanan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) sebaiknya supaya kesilapan semasa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) 1960 dilaksanakan tidak berulang.

Senator Balasubramaniam A/P Nachiappan berkata, pelanjutan tempoh penahanan individu yang ditahan sehingga 28 hari mengikut Subseksyen 4(5) SOSMA adalah perlu untuk memberikan ruang kepada pihak polis melakukan tugas mereka.

- Advertisement -

Keputusan ini katanya, juga untuk memastikan negara kekal bebas daripada ancaman keselamatan khususnya serangan dan kegiatan pengganas.

“SOSMA sebenarnya begitu jauh berbeza daripada Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) kerana prosedurnya yang lebih ketat dan tidak boleh digunakan untuk membuat tahanan politik.

“Walaupun begitu, ia mestilah dapat dilaksanakan dengan adil tanpa campur tangan pihak lain, khususnya daripada kalangan pemimpin kerajaan, seperti mana yang pernah berlaku ketika ISA dilaksanakan,” katanya semasa membahaskan usul pelanjutan tempoh penahanan individu yang ditahan sehingga 28 hari mengikut Subseksyen 4(5) SOSMA, di Dewan Negara, hari ini.

Sementara itu, Balasubramaniam berpandangan Subseksyen 4(4) mestilah disusuli dengan Subseksyen 4(5) kerana menganggap ia tidak mampu untuk membantu pihak polis mendapatkan hasil penyiasatan yang tepat.

Katanya, Suseksyen 4(4) yang memperuntukkan orang yang ditangkap boleh ditahan untuk tempoh 24 jam itu dibimbangi akan menyebabkan pihak polis menggunakan kekerasan.

“Jika Subseksyen 4(5) ini tidak dilanjutkan dan diluluskan di Dewan Negara ini, pihak polis hanya boleh menggunakan subseksyen 4(4) iaitu tempoh siasatan selama 24 jam sahaja untuk menyiasat kes.

“Kes-kes itu termasuk kes jenayah terancang, kes sindiket penyeludupan migran, kes kumpulan keganasan dan kes penipuan atas talian (scammer) yang semakin berleluasa,” katanya. – HARAKAHDAILY 27/7/2022

- Advertisement -