Ke arah penubuhan Lembaga Angkasa Malaysia

- Advertisement -

PADA petang ini, Timbalan Menteri MOSTI, YB Datuk Haji Ahmad Amzad Hashim menghadiri Sesi Libat Urus Penggubalan Peraturan-peraturan Lembaga Angkasa Malaysia [Akta 834] di Zenith Hotel, Putrajaya.

Tujuan sesi libat urus pada petang ini adalah untuk mendapatkan input dan maklum balas daripada semua pemegang taruh ke atas Peraturan-peraturan Lembaga Angkasa Malaysia yang sedang digubal ini supaya ianya komprehensif, teratur dan praktikal. Saya difahamkan juga bahawa sesi libat urus bersama agensi kerajaan dan akademia telah diadakan pada pagi tadi manakala sesi pada petang ini melibatkan pihak industri dan pihak NGO.

Sepertimana kita sedia maklum, RUU Lembaga Angkasa Malaysia telah mendapat perkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong pada 19 Januari 2022 dan telah diwartakan sebagai Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 [Akta 834] pada 25 Januari 2022.

Antara komponen utama Akta ini adalah penubuhan Lembaga Angkasa Malaysia untuk mengawal selia sebarang aktiviti berkaitan angkasa, pendaftaran objek angkasa dan memastikan aktiviti angkasa negara dapat dilaksanakan secara bertanggungjawab serta mematuhi segala peraturan dan standards yang dipersetujui di peringkat antarabangsa. Akta 834 menyediakan kerangka undang-undang yang jelas, telus dan inklusif dalam menyediakan ekosistem sokongan bagi menyemarakkan pembangunan teknologi angkasa di negara ini.

Di rantau ini, cuma Malaysia, Indonesia dan Flipina yang mempunyai kerangka undang-undang yang khusus berkaitan angkasa. Pewujudan Akta 834, turut membuka ruang untuk Malaysia menyertai beberapa triti angkasa yang penting. Oleh itu, kita mempunyai potensi menjadi pemain angkasa yang penting bukan sahaja di rantau ini malah di dunia.

Sehubungan dengan itu, pihak MOSTI sedang menggubal Peraturan-peraturan Lembaga Angkasa Malaysia. Peraturan-peraturan ini merangkumi beberapa seksyen iaitu pelesenan, permit pelancaran, perakuan pelancaran, insurans, pendaftaran objek angkasa dan kadar fi. Peraturan-peraturan ini perlu dimuktamadkan sebelum Akta 834 dijangka berkuatkuasa pada awal tahun 2023.

MOSTI komited dalam melaksanakan Akta Lembaga Angkasa Malaysia 2022 bagi memelihara kepentingan kerajaan, menggalakkan penyelidikan dan pembangunan serta menggiatkan pertumbuhan industri dan pelaburan berkaitan teknologi angkasa dalam memperkasakan agenda Sains, Teknologi dan Inovasi negara.

Nilai ekonomi industri angkasa di peringkat global telah mencapai USD424 bilion pada 2020. Industri ini terus berkembang dan Morgan Stanley menganggarkan bahawa nilai industri angkasa boleh menjana pendapatan melebihi USD1 trilion menjelang tahun 2040.

Yang Berhormat Timbalan Menteri MOSTI mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih kepada Bahagian Penguasa Angkasa (BPA) yang baru ditubuhkan di MOSTI dan akan menjadi pelaksana Akta ini kelak. BPA juga bertindak sebagai urusetia kepada majlis kita pada hari ini. Terima kasih juga kepada MYSA yang membantu dari segi kepakaran teknikal dan juga Jabatan Peguam Negara yang memberi kerjasama dan sokongan padu dalam pewujudan Akta ini. – HARAKAHDAILY 26/7/2022

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100044064822391/posts/pfbid037oETk4CdoyQU8Pg8gPR2Ph9cji76SW6WcBQ6K49coHhFidY1WT5gEdUYB5zokdyKl/

- Advertisement -
- Advertisement -