
Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF
KANGAR: PAS Perlis mengarah seluruh jentera parti di semua peringkat bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak lama lagi.
Pesuruhjaya PAS Perlis, Mohd Shukri Ramli berkata, arahan itu dengan mengambil kira kemungkinan berlakunya pembubaran Parlimen sebelum akhir tahun ini.
Katanya jentera pilihan raya PAS Perlis sebenarnya sudah membuat persiapan menghadapi segala kemungkinan itu.
“Sehingga sekarang perjumpaan jentera PAS di setiap peringkat bermula dari cawangan sehingga ke kawasan telah dilaksanakan melibatkan seluruh petugas,” katanya selepas menghadiri program di Kompleks PAS Perlis (KOMPAS) di sini semalam.
Hadir sama pada program itu Presiden PAS Tan Sri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Mursyidul Am PAS Dato’ Tuan Guru Hashim Jasin, Naib Presiden Senator Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Politik Presiden PAS Mohd Syahir Che Sulaiman.
Mohd Shukri yang juga Adun Sanglang berkata, PAS Perlis bersedia menerima keputusan pimpinan PAS Pusat khususnya berkaitan bilangan kerusi dan calon yang akan bertanding.
Menurutnya hasil keputusan itu diharap mampu mencatatkan keputusan yang lebih baik kepada PAS di Perlis pada PRU15.
Perlis mempunyai tiga Kawasan parlimen iaitu Padang Besar, Kangar dan Arau di mana setiap parlimen mempunyai lima Dewan Undangan Negeri (DUN).
Pada PRU14 PAS memenangi dua Dun iaitu Guar Sanji dan Sanglang di Parlimen Arau. – HARAKAHDAILY 25/7/2022











