Amalkan ikhlas dalam semua perkara

- Advertisement -

IKHLAS adalah sebuah sifat mahmudah yang sangat dituntut dalam Islam. Amalan yang tidak ikhlas tidak akan diterima di sisi Allah.

Firman Allah S.W.T:

- Advertisement -

وَمَا أُمِرُوا إِلَّا لِيَعْبُدُوا اللَّهَ مُخْلِصِينَ لَهُ الدِّينَ حُنَفَاء وَيُقِيمُوا الصَّلَاةَ وَيُؤْتُوا الزَّكَاةَ وَذَلِكَ دِينُ الْقَيِّمَةِ

Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah Agama yang benar.” 

(al-Bayyinah: 5)

Dalam ayat di atas, Allah menuntut kita untuk beribadah dengan ikhlas, hanya kerana Allah tanpa ada tujuan-tujuan yang lain.

Cuba kita kaitkan dengan apa yang disebut oleh Allah dalam surah Adz-Dzaariyaat ayat ke 56:

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepada-Ku.” 

(Adz-Dzaariyaat: 56)

Allah memerintahkan kita untuk beribadah dengan ikhlas. Allah mengingatkan bahawa tujuan kita diciptakan hanya untuk beribadah.

Maka dapat kita fahami di sini bahawa ikhlas itu perlu ada dalam segenap urusan hidup kita kerana seluruh hidup kita ini adalah ibadah.

Baik dalam ibadah khusus mahupun umum. Di dalam solat dan di luar solat. Di dalam masjid dan di luar masjid. Tidak terkecuali di mana sahaja atau bila-bila jua. Namun hanya untuk perkara kebaikan sahaja, bukan untuk perkara yang makruh atau terlarang sama sekali.

Sebuah Hadis yang sangat mahsyur dan selalu kita dengar, bahkan disebut di dalam kitab Hadis 40 karya Imam An-nawawi, Rasulullah S.A.W bersabda:

إنَّمَا الأعمَال بالنِّيَّاتِ وإِنَّما لِكُلِّ امريءٍ ما نَوَى فَمَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُولِهِ فهِجْرَتُهُ إلى اللهِ ورَسُوْلِهِ ومَنْ كَانَتْ هِجْرَتُهُ لِدُنْيَا يُصِيْبُها أو امرأةٍ يَنْكِحُهَا فهِجْرَتُهُ إلى ما هَاجَرَ إليهِ

“Segala amal perbuatan itu berdasarkan niatnya, sedangkan masing-masing orang akan mendapatkan apa yang diniatkannya. Barangsiapa (berniat) hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya maka hijrahnya adalah (bernilai) hijrah kepada Allah dan Rasul-Nya. Sedangkan orang yang hijrahnya (diniatkan) untuk mendapatkan keduniaan atau demi seorang wanita yang ingin dinikahinya maka (nilai) hijrahnya adalah sebagaimana yang dia tuju.” 

(Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim)

Amalan kita akan dinilai berdasarkan niat kita. Jika niat kita hanya kerana Allah, maka kitapun akan mendapatkan pula ganjaran daripada Allah. Jika niat kita untuk mendapat keuntungan lain yang bersifat material, kita juga akan mendapatkannya tetapi tiadalah ganjaran daripada Allah.

Ini menunjukkan bahawa sekecil-kecil dan sebesar-besar amalan, ikhlas amatlah diperlukan. Bayangkan sebuah amalan yang besar dan hebat iaitu hijrah yang memakan masa berbulan-bulan lamanya, berpenat lelah dan meninggalkan tanahair, perniagaan dan orang kesayangan, menjadi tidak bernilai kerana niat yang tidak ikhlas.

Solatlah tahajud seberapa rakaat yang anda mampu, tetapi amal itu akan menjadi sia-sia jika tidak mengikhlaskan ibadah tersebut kepada Allah S.W.T

Dalam Hadis yang lain, Rasulullah S.A.W bersabda:

عَنْ أَبِى هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ -صلى الله عليه وسلم-  إِنَّ اللَّهَ لاَ يَنْظُرُ إِلَى صُوَرِكُمْ وَأَمْوَالِكُمْ وَلَكِنْ يَنْظُرُ إِلَى قُلُوبِكُمْ وَأَعْمَالِكُمْ 

Sesungguhnya Allah tidak memandang kepada rupa kalian, juga tidak kepada harta kalian, akan tetapi Dia melihat kepada hati dan amal kalian.”

(Hadis Riwayat Muslim)

Niat itu letaknya di hati dan hati yang ikhlas itulah menjadi pusat kepada penglihatan Allah, yang kemudian dizahirkan dengan amalan-amalan yang dilakukan semata-mata untuk mendapatkan ganjaran dan keredhaan Allah.

DR USTAZ AHMAD FAKHRUDDIN SHEIKH FAKHRURAZI
Yang Dipertua
PAS Kawasan Kuala Kedah – HARAKAHDAILY 19/7/2022

- Advertisement -