
Oleh AIN MANAF
KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan menyediakan memperuntukkan lebih RM11 juta setahun bagi menyediakan khidmat lori tangki bergerak di bawah Air Kelantan Sdn. Bhd (AKSB) bagi menghantar air ke lokasi yang bermasalah.
Exco Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti negeri, Dato’ Sr Azami Mohd Nor berkata, langkah itu adalah bertujuan bagi memudahkan rakyat di negeri ini untuk mendapat bekalan air di kawasan tekanan rendah.
Katanya, AKSB melalui kerajaan negeri membuat sewaan sebanyak 30 lori dengan bayaran sewaan sebanyak RM850 bagi setiap sebuah lori bagi menghantar bekalan air.
“Bermula Julai tahun lalu sehingga hari ini kita menyediakan lori tangki bergerak dan ia akan terus disediakan dari semasa ke semasa. Manakala lori tangki bergerak disediakan bermula pada jam 9 pagi sehingga 6 petang setiap hari.
“Lori yang disediakan itu akan bergerak ke jajahan-jajahan yang mana mengalami masalah bekalan air. Jadi pengguna boleh jumpa dengan jurutera jajahan AKSB untuk meminta bantuan bekalan air yang disediakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas ketika menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri Kelantan, Kota Darulnaim di sini hari ini.
Menurutnya juga AKSB merancang pendekatan jangka panjang seperti peningkatan sumber air mentah, menaiktaraf dan membina Loji Rawatan Air (LRA) baharu serta melaksanakan program penukaran paip lama untuk mengurangkan kadar air tak terhasil (NRW).
Katanya, setakat ini sumber air mentah untuk perkhidmatan bekalan air awam di Kelantan melalui pengabstrakan air sungai sebanyak (47 peratus), tapisan air sungai (29 peratus) dan air bawah tanah (24 peratus).
Manakala katanya, perancangan juga dibuat untuk menakung air sungai melalui kaedah Takungan Air Pinggiran Air Sungai (TAPS) dan Takungan Empangan.
“Cadangan pembinaan TAPS dengan kapasiti 500 juta liter sehari (JLH) dirancang di Labok, Machang dan cadangan itu diangkat kepada kerajaan Persekutuan untuk kelulusan pelaksanaan dalam Rolling Plan Ketiga Rancangan Malaysia ke-12,” katanya.
Beliau berkata apabila projek TAPS siap pada 2027, jaminan air mentah di kawasan utara Lembangan Sungai Kelantan akan meningkat.
“Pengabstrakan air mentah melalui takungan empangan pula akan direalisasikan bila siapnya Projek Pembinaan Empangan Nenggiri yang bermula pada tahun ini dan dijangka siap pada 2027,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau hasrat utama kerajaan negeri dalam masa terdekat cuba untuk menyelesaikan beberapa perkara berkaitan dengan isu air di negeri itu. – HARAKAHDAILY 18/7/2022











